Kerisauan Presiden UMNO lenyap, sah negatif Covid-19 hari ini

Tangkap layar aplikasi mesej.Telegram Ahmad Zahid pada Khamis.
Tangkap layar aplikasi mesej.Telegram Ahmad Zahid pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerisauan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lenyap sebaik disahkan negatif Covid-19 pada Khamis.

Pada Rabu, Ahmad Zahid telah menjalani ujian swab di Hospital Avisena di sini.

"Alhamdulillah, pagi ini saya menerima perkhabaran menggembirakan apabila keputusan 'swab test' yang dijalankan adalah negatif.

"Pagi ini tepat jam 7.44 pagi, doktor telah menghubungi isteri saya memaklumkan perkhabaran ini," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menerusi aplikasi mesej Telegram pada Khamis.

Beliau memaklumkan telah melakukan kuarantin kendiri daripada isteri, anak-anak dan cucu dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) selepas menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan.

"Selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Avisena, Shah Alam, saya juga melakukan kuarantin daripada isteri, anak-anak dan cucu dengan mengikuti SOP.

"Saya mendoakan anda semua menjaga kesihatan dan memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19," katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin UMNO bahagian di pejabatnya di Menara Dato Onn, termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Tajuddin yang juga Pengerusi Prasarana Berhad pada Rabu mengesahkan dirinya positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin di rumahnya.

Selain Tajuddin, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz juga dilaporkan positif dan sedang menjalani kuarantin diri di sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Difahamkan juga, beberapa pemimpin UMNO yang hadir ke ibu pejabat parti itu sebelum ini juga diminta untuk menjalani ujian saringan.