Jihad perangi rasuah agenda utama angkat maruah negara

Fairuz Jamaludin
Fairuz Jamaludin
A
A
A

SHAH ALAM – Agenda jihad perangi rasuah yang dipelopori Sinar Harian dengan pelancaran ‘Sinar Rasuah Busters’ merupakan inisiatif yang patut dijulang untuk memulihkan semula maruah negara.

Exco Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata, wabak rasuah yang semakin kritikal memerlukan vaksin ampuh untuk dipulihkan sepenuhnya.

“Gejala ini telah menjadi barah dalam struktur pentadbiran dan perniagaan. Jika dibiarkan berlarutan, penyakit moral ini akan merosakkan akar integriti dan meruntuhkan moral bangsa yang ditatang dengan cermat sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan ada Khamis.

Beliau berkata, Malaysia jauh ketinggalan dari segi persepsi korupsi apabila menduduki tangga ke-51 berbanding Singapura di tangga keempat dalam Kajian Indeks Persepsi Korupsi (CPI) 2019 melibatkan 180 negara.

Fairuz berkata, ini menunjukkan Malaysia jauh ketinggalan sehingga menyebabkan negara ini menjadi pilihan kedua kepada pelabur asing yang amat menitik beratkan transparensi dan ketulusan dalam perniagaan.

“Gejala rasuah ini perlu dibanteras dari akar dengan menilai semula semua ruang tiris yang menjadi pemangkin yang menggalakkan rasuah kronik di semua peringkat birokrasi dalam pentadbiran.

“Jika akarnya tidak dibaiki dengan baja yang baik, maka, penyakit rasuah ini akan menular hingga ke pucuk dan akhirnya akan merosakkan keseluruhan sistem pentadbiran kerajaan dan perniagaan.

“Kempen Jihad Perangi Rasuah ini hendaklah kita terus sokong dengan istiqomah sehingga penyakit kronik rasuah ini berjaya dihapuskan daripada merosakkan moral dan maruah negara di mata dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya sama-sama berganding bahu untuk membanteras rasuah di semua peringkat bermula dari diri sendiri.

Selasa lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menyambut baik gerakan yang dipelopori Sinar Harian untuk mempromosi agenda jihad memulihkan moral bangsa khususnya dalam memerangi rasuah yang masih mengakar dan membelenggu negara ketika ini.