X

Kindly register in order to view this article
!

Negara ASEAN perlu rangka dasar e-dagang rentas sempadan

ASEAN
A
A

KUALA LUMPUR - Negara-negara ASEAN perlu merangka dasar yang menyelaras peraturan e-dagang rentas sempadan bagi menggalakkan pembangunan ekonomi digital serantau dalam usaha menjadi komuniti digital sepenuhnya.

Pengarah Eksekutif CIMB Asean Research Institute (CARI), Jukhee Hong berkata, potensi ekonomi digital ASEAN juga dapat ditingkatkan jika negara-negaranya melakukan transformasi digital sepenuhnya serta mewujudkan komuniti digital yang menyeluruh.

"ASEAN perlu menggalakkan perkembangan infrastruktur digital yang akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada model perniagaan baharu dalam talian agar dapat mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini.

"Pendigitalan dari segi sistem kewangan dan pentadbiran awam serta pengaktifan infrastruktur pembayaran digital juga dapat memudahkan aliran kewangan di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program temu bual khas Temu Minda bertajuk Malaysia Nadi Digital ASEAN yang dihoskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada Rabu.

Jukhee berkata bagi mencapai matlamat digital menyeluruh, Malaysia boleh memainkan peranan sebagai pemacu negara digital yang menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi digital di rantau ASEAN.

Menurutnya, bagi merapatkan jurang kemahiran digital di rantau ini, kerajaan juga perlu memperbaharui sistem latihan dan pendidikan bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dalam bidang digital dan ICT, katanya.

Sementara itu, bercakap dalam program sama, Ketua Pegawai Eksekutif TIME dotCom Bhd, Afzal Abdul Rahim berkata, antara cabaran utama dalam usaha menjadi negara digital di rantau ini adalah penyediaan kemudahan infrastruktur digital yang berbeza di setiap negara.

"Di Malaysia, kita mempunyai sistem perancangan bandar yang baik dan syarikat telekomunikasi dapat menyediakan infrastruktur digital seperti kabel fiber bawah tanah," katanya.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi geografi kerana berada di laluan perkapalan paling sibuk di dunia melalui Selat Melaka yang turut menjadi laluan kabel dasar laut utama di rantau ini.

"Kelebihan semula jadi Malaysia ini membolehkan kita menjadi magnet kepada nadi digital di ASEAN," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!