Pusat transit gelandangan di Johor Bahru siap 2022

Gelandangan mengambil makanan percuma yang disediakan pihak MBJB dan NGO di hadapan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Gelandangan mengambil makanan percuma yang disediakan pihak MBJB dan NGO di hadapan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor yang akan dibina di Larkin di sini dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2022.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, pusat tersebut akan memudahkan kerajaan memantau dan melakukan intervensi yang sesuai agar golongan itu dapat diselamatkan, berdikari dan kembali kepada masyarakat.

"Golongan gelandangan ini bukan sekadar memerlukan bantuan makanan malah majoriti mereka turut memerlukan rawatan psikologi dan sokongan kemahiran untuk memenuhi kriteria serta keperluan pekerjaan yang ditawarkan.

"Langkah intervensi yang menyeluruh ini merupakan satu solusi bagi membantu golongan gelandangan untuk keluar daripada kitaran kesusahan serta meneruskan kehidupan mereka seperti insan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) amat mengalu-alukan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Kebajikan Negara atau mana-mana pihak untuk bersama-sama menjayakan objektif pembinaan pusat transit itu.

Gelandangan mengambil makanan percuma yang disediakan pihak MBJB dan NGO di hadapan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Gelandangan mengambil makanan percuma yang disediakan pihak MBJB dan NGO di hadapan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

Pada masa sama katanya, usaha tersebut bagi memastikan Bandaraya Johor Bahru menjadi sebuah bandar raya yang sejahtera dan lestari.

Beliau berkata, MBJB amat prihatin nasib gelandangan di bandaraya ini dan bersama-sama JKM, polis, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) telah bekerjasama membantu mereka.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mereka bekerjasama bagi membantu serta mengurangkan beban golongan gelandangan dengan memberi bantuan makanan setiap hari di Laman Tun Sri Lanang di sini yang diselaraskan pihak PBSM.

"Berdasarkan pemantauan dan pemerhatian pihak MBJB, didapati terdapat 340 orang gelandangan di pusat bandar Johor Bahru yang aktif terutama pada hujung minggu yang memerlukan bantuan makanan secara berterusan.

"Hasil daripada sumbangan dan bantuan yang diberikan pelbagai pihak, pihak PBSM kini mempunyai kapasiti untuk membekalkan makanan kepada 200 gelandangan pada hari-hari biasa dengan jumlah pemberian makanan tiga kali sehari," katanya.

Pada hujung minggu pula ujarnya, pihak PBSM mempunyai kapasiti pemberian makanan kepada sehingga 350 gelandangan.

Adib berkata, program pemberian bantuan makanan itu dimulakan sejak Mac tahun lalu dan diputuskan PBSM menyelaraskannya sepanjang waktu Printah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pihak PBSM katanya, mengatur jadual pemberian makanan kepada gelandangan dengan kerjasama semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tiada pembaziran makanan berlaku serta tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKP sepanjang pemberian bantuan makanan.