Gunalah khidmat pakar

Ismady menunjukkan keadaan air di kawasan Air Terjun Tanjung Batu kesan kerosakan yang berlaku.
Ismady menunjukkan keadaan air di kawasan Air Terjun Tanjung Batu kesan kerosakan yang berlaku.
A
A
A

MANJUNG - Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menggesa syarikat kuari terlibat melantik pihak berkompetan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari.

Timbalan Pengerusinya, Ismady Radzuan berkata, kepakaran dalam aspek itu diperlukan bagi mengurangkan impak yang lebih teruk selepas hampir 90 peratus kawasan di situ musnah.

Menurutnya, daripada kesan tapak di lapangan, didapati syarikat terlibat menggunakan jentera berat bagi membawa keluar sisa-sisa pokok dan kayu di situ.

"Kita boleh nampak mereka buka satu laluan baharu untuk tujuan pembersihan, apabila jentolak digunakan mereka redah sahaja kawasan tanah di sini dan menarik kayu-kayu yang ada dengan cara tidak betul.

"Sebab itu kontraktor perlu melantik pakar agar apa yang sudah berlaku di sini tidak menjadi lebih teruk yang mana hanya akan menyukarkan proses pemulihan alam sekitar dilakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, kebiasaannya apabila berlaku kerosakan sedemikian, kerja-kerja penanaman tumbuhan penutup bumi perlu dibuat untuk mengawal keadaan tanah dan mencegah hakisan.

"Tanaman penutup bumi ini secara tidak langsung meningkatkan kualiti ekosistem semulajadi sekitarnya. Itu tindakan awal sepatutnya dilakukan," katanya.

Tambah Ismady, tinjauan yang dilakukan menggunakan dron mendapati, sisa-sisa pokok dan kayu masih ada di bahagian atas kawasan air terjun itu.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi fizikalnya, kerja-kerja pembersihan belum sampai 10 peratus lagi, mungkin juga mereka tunggu siasatan dan penilaian pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya.