Covid-19: Kenapa kes China lebih rendah?

No Image Caption
A
A
A

SETAKAT Selasa (19 Januari 2021), Amerika Syarikat dengan populasi 329 juta penduduk menjadi negara yang paling tinggi kes Covid-19 di dunia. Kes Covid-19 di sana sudah melebihi 24 juta kes dengan 404,812 kematian.

Mengikut statistik Epidemic-stats.com, Malaysia dengan populasi 32 juta penduduk kini berada di kedudukan ke-60 dengan 165,371 kes positif manakala jumlah kematian sebanyak 619 orang.

Bagaimanapun, ramai yang tertanya-tanya, bagaimana China yang memiliki 1.4 bilion penduduk, malah menjadi negara pertama meledakkan kes Covid-19 tetapi kini berada di tempat ke-83. Apakah yang berbeza telah dilakukan China sehingga jumlah kes positif negara itu cuma 88,557 kes dengan 4,635 kematian.

Tanpa kita sedar jumlah kes positif Covid-19 di negara kita hampir sekali ganda dari negara China.

Pakar kesihatan awam menegaskan kawalan penyakit oleh kerajaan di China dan kepatuhan rakyatnya kepada prosedur operasi standard (SOP) merupakan punca penurunan kes yang begitu ketara di negara itu.

Pakar Virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, di China kerajaan republik berkenaan memperketatkan kawalan pergerakan yang melibatkan lockdown sepenuhnya.

“Maka dengan langkah ini rakyat China langsung tidak dibenarkan bergerak ke mana-mana dan hanya duduk di rumah sehingga tempoh dua minggu sehingga tiada jangkitan lagi.

“Jika rakyat mereka ingkar maka mereka akan ditangkap dan dikenakan tindakan.

Artikel Berkaitan:

“Oleh kerana tindakan kerajaan yang ketat, maka tahap kepatuhan rakyat di negara itu amat tinggi dan mereka turut memberi kerjasama kepada kerajaan dalam usaha memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, seharusnya Malaysia juga mengambil langkah serupa seperti di China dengan tidak membenarkan sebarang pergerakan sama ada dengan menggunakan kenderaan sendiri dan awam, termasuk ke tempat kerja dalam usaha memutuskan rantaian wabak ini.

“Usaha pemerintah China mengadakan pemeriksaan dan ujian calitan kepada rakyat mereka juga harus dipuji dan ia membantu mengurangkan jangkitan kepada rakyat mereka memandangkan China merupakan antara negara terbesar dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

“Jika Malaysia juga mampu lakukan perkara yang sama maka penularan wabak Covid-19 boleh dikekang. China sebelum ini berjaya membuktikannya dan menggunakan sepenuhnya kepakaran dan nasihat pakar kesihatan mereka.

“Tindakan mereka mengasingkan individu yang positif di satu tempat lain dan melaksanakan dua minggu lockdown di kawasan dikenal pasti ada penularan wabak, akhirnya berjaya mengekang penularan wabak Covid-19,” jelas Sazaly.

Pandangan yang sama juga turut diberikan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani.

Beliau berkata, walaupun menjadi tempat pertama dilanda Covid-19, China menggerakkan usaha menangani penyakit itu dengan pantas ditambah negara itu mempunyai sistem tindak balas wabak berpusat.

Sebagai contoh baru-baru ini selepas China kembali mencatatkan sekitar 130 kes Covid-19 pada awal Januari, pemerintah negara itu dengan pantas membina sebuah hospital dengan kapasiti 1,500 katil di Beijing sebagai tempat isolasi dan rawatan. Menariknya hospital itu dibina dalam tempoh masa lima hari sahaja.

“Di negara lain, penguatkuasaan mungkin lebih longgar, selain sistem ekonomi dan sosial dibuka terlalu cepat. Tidak ketinggalan kadar kepatuhan rakyat dan orang ramai yang mula melakukan perjalanan ke sana ke mari menyebabkan virus mudah merebak.“Di Malaysia apabila kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah pada Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebelum ini maka ramai yang mula alpa dan berkumpul dalam suasana yang ramai,” kata Mohd Dzulkhairi.

Beliau berharap, dengan pelaksanaan semula PKP ini, jumlah kes di Malaysia yang naik mendadak sehingga 4,000 kes sehari sebelum ini dapat dikurangkan.