X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Inisiatif terbaik banteras rasuah

Laporan Sinar Harian pada 16 Januari.
A
A

SHAH ALAM - Kesediaan akhbar Sinar Harian menubuhkan ‘Sinar Rasuah Busters’ adalah satu usaha murni syarikat penerbitan terkemuka itu untuk membanteras aktiviti rasuah dan penyelewengan di negara ini yang wajar disokong oleh semua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Aura By Hiska Sdn Bhd, Mohd Hisham Kassim berkata, peringatan yang berterusan mengenai bahayanya rantaian gejala rasuah amat perlu bagi memastikan ia dapat dihentikan daripada berleluasa dan tidak diwarisi oleh generasi akan datang.

Menurutnya, masyarakat di negara ini yang terkenal dengan sopan-santun, berilmu, berintegriti serta mempunyai nilai akhlak yang tinggi perlu sentiasa dijaga terutamanya generasi muda agar sikap ingin mencapai kejayaan dan kekayaan dengan mudah melalui unsur rasuah dapat dihapuskan.

“Persepsi negatif rasuah hanya akan menyebabkan keengganan pelabur untuk melabur di negara ini, seterusnya akan menjejaskan ekonomi negara serta mengurangkan peluang pekerjaan kepada masyarakat kita,” katanya di sini pada Rabu.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan sentiasa memberikan pendidikan agama yang terbaik kepada anak-anak dan memberi nasihat mengenai keburukan gejala rasuah yang bukan sahaja akan merosakkan institusi kekeluargaan, malahan meranapkan nilai bangsa, agama dan negara.

Sementara itu, Pengarah Operasi dan Strategi Perniagaan SR Food Industry Resources Sdn Bhd (SR Food), Dr Syed Luqman Hakim Syed Alwi pula berkata, penubuhan ‘Sinar Rasuah Busters’ adalah inisiatif terbaik dan usaha itu perlu dilaksanakan daripada awal kerana rakyat harus berganding bahu membanteras perbuatan negatif tersebut.

“Sinar Rasuah Busters harus mendapat sambutan daripada rakyat disebabkan gejala rasuah yang kian meningkat disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu sehingga menyebabkan keadaan mereka (pemberi dan penerima rasuah) terpaksa melakukan rasuah.

“Saya berharap mereka yang menyertai Sinar Rasuah Busters diberi pendedahan mendalam mengenai gejala rasuah, impak negatif rasuah kepada umat Islam dan negara sebelum mereka sendiri benar-benar menjadi seorang ‘pembanteras rasuah’,” katanya.

Syed Luqman Hakim berkata, usaha berkenaan juga adalah yang terbaik di peringkat rakyat dan beliau berharap maklumat yang sahih dan terbukti tidak dibuang begitu sahaja.

“Usaha ini amat baik di peringkat rakyat tetapi apa gunanya jika maklumat yang sahih lagi terbukti akhirnya dibuang begitu sahaja oleh pihak berkuasa,” katanya. Tegas Syed Luqman Hakim, untuk memastikan usaha sedemikian lebih berkesan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri harus diperkasakan dengan melantik mereka yang berwibawa tinggi dan berintegriti untuk menjalankan tugas.

Sementara itu, pemilik Empayar AilyQairy Sdn Bhd yang mengusahakan Butikkosmetik.com, Qairy Maheran turut senada dengan Syed Luqman Hakim yang menyifatkan usaha Sinar Harian sebagai badan pemantau untuk memastikan budaya rasuah dapat dihentikan.

“Jika tidak ada usaha seperti ini, perbuatan hanky panky atau perkara tidak betul tetap ada. Mereka yang memegang jawatan di sesuatu jabatan atau agensi tertentu dalam tempoh yang lama dikhuatiri terlibat gejala rasuah.

“Dengan adanya Sinar Rasuah Busters, kita akan dapat melihat pergerakan, networking sekali gus dapat memantau pemberi dan penerima rasuah yang terlibat dalam jabatan berkenaan,” katanya.

Qairy menggesa agar ‘Sinar Rasuah Busters’ dibuka kepada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Qairy berkata, pemberian rasuah sangat subjektif dan terdiri daripada pelbagai bentuk antaranya wang tunai, material dan hiburan yang dianggap sebagai ‘hubungan baik dan terhutang budi’.

Qairy turut mencadangkan agar SPRM memberi penghargaan kepada pemberi maklumat mengenai kegiatan rasuah dan memberikan pendidikan kepada masyarakat mengenai hukuman berat terhadap penerima dan pemberi rasuah dalam usaha untuk membanteras rasuah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!