Hari sibuk menanti Biden

Amerika Syarikat kini dipimpin oleh Presiden baharu negara itu, Joe Biden (kanan) dan Naib Presidennya, Kamala Harris. - Foto AFP
Amerika Syarikat kini dipimpin oleh Presiden baharu negara itu, Joe Biden (kanan) dan Naib Presidennya, Kamala Harris. - Foto AFP
A
A
A

AMERIKA Syarikat (AS) memasuki era baharu apabila Presiden yang ke-46, Joe Biden daripada parti Demokrat mengangkat sumpah bagi menggantikan Donald Trump yang menganggotai parti Republikan di bangunan Capitol, Washington D.C pada Rabu.

Majlis angkat sumpah itu diadakan di atas tangga bangunan Capitol, Washington D.C dan dikawal ketat oleh pasukan keselamatan AS selepas para penyokong Trump melakukan rusuhan di bangunan tersebut pada 6 Januari lalu bagi menghalang pengisytiharan kemenangan Biden dalam pilihan raya Presiden AS pada 3 November tahun lalu.

Ia juga diadakan ketika AS mencatatkan lebih 400,000 kematian akibat Covid-19 iaitu yang tertinggi di dunia dan lebih 24 juta kes pandemik itu di AS pada Selasa.

Turut sama mengangkat sumpah jawatan ialah Naib Presiden wanita pertama AS, Kamala Harris yang juga menjadi penduduk kulit hitam dan berketurunan India-Jamaica yang pertama memegang jawatan tersebut.

Pelbagai ramalan dibuat oleh pakar-pakar berhubung gaya pentadbiran dan dasar luarnya selepas beliau berjaya mengalahkan Trump pada pilihan raya Presiden AS.

Biden yang berusia 78 tahun dan memadamkan rekod Trump sebagai Presiden paling tua pernah memerintah AS dilaporkan akan menandatangani berpuluh-puluh arahan dan tindakan dalam tempoh 10 hari pertama beliau memerintah AS.

Trump sebelum ini memegang rekod sebagai Presiden paling tua di AS pada usia 70 tahun 220 hari semasa menjadi Presiden negara itu.

"Kami (pentadbiran baharu AS) akan bertindak. Pada hari pertama kami akan bertindak untuk memastikan Covid-19 berada dalam kawalan," kata Biden sebelum berlangsungnya pilihan raya Presiden AS.

Artikel Berkaitan:

Beliau mempunyai Pelan Penyelamat Amerika yang dijangka melibatkan kos sebanyak AS$1.9 trilion (RM4.04 trilion) bagi menangani kesan Covid-19 dan mencadangkan tambahan sebanyak AS$160 bilion (RM647.20 bilion) untuk program vaksin pandemik tersebut.

Biden yang sebelum ini telah disuntik dengan vaksin Covid-19 dikatakan akan menandatangani arahan bagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di bangunan-bangunan kerajaan dan untuk mereka yang pergi melepasi sempadan negeri-negeri AS sebagai usaha untuk membendung penularan virus berkenaan.

Rumah Putih akan didiami oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden sehingga Januari tahun 2026. - Foto AFP
Rumah Putih akan didiami oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden sehingga Januari tahun 2026. - Foto AFP

Ia tidak pernah dilakukan ketika era pemerintahan Trump.

Pada hari kedua beliau memegang jawatan, Biden dikatakan akan menandatangani arahan eksekutif tentang pembaharuan kehakiman, langkah-langkah persamaan kaum, akses terhadap penjagaan kesihatan, cuaca dan dasar pembelian barang buatan Amerika.

Itu adalah antara yang akan dilakukan pada hari-hari awal beliau memerintah.

Biden juga berjanji untuk melakukan perubahan dalam sektor pengangkutan dan tenaga bagi mencapai sasaran pelepasan karbon seperti yang dirancang dalam Perjanjian Paris sebelum Trump bertindak menarik diri daripada perjanjian tersebut pada tahun lalu.

Justeru, beliau mahu AS menyertai semula Perjanjian Paris yang diwujudkan pada tahun 2016 bagi menghadapi masalah isu-isu pencemaran dunia.

Presiden AS itu dikatakan akan menandatangani arahan untuk melanjutkan pembekuan pembayaran pinjaman pelajar dan kadar faedah, melanjutkan larangan bagi menghalau penyewa dan rampasan harta benda akibat pinjaman tidak berbayar berikutan Covid-19.

Menurut Pusat Penyelidikan Pew, Trump didapati tidak popular di peringkat antarabangsa dan rating beliau yang lemah telah menyebabkannya memberi kesan yang negatif kepada imej keseluruhan AS terutamanya antara sekutu-sekutu utama serta rakan-rakannya di Amerika.

Berbanding dengan Biden, kata pusat penyelidikan tersebut pada Selasa, imejnya didapati lebih positif.

Ia adalah berdasarkan kepada tinjauan baharu Pusat Penyelidikan Pew yang dilakukan di Perancis, Jerman dan United Kingdom (UK).

Pusat penyelidikan tersebut membuat kesimpulan bahawa penduduk di UK dan dua buah lagi negara berkenaan merasakan hubungan dengan AS akan dapat diperbaiki selepas AS diperintah oleh Biden berbanding Trump sebelum ini.

Sebelum ini hubungan antara Washington dengan Kesatuan Eropah (EU) tidak mesra ketika era pemerintahan Trump berhubung isu mengenai perdagangan, subsidi untuk pembuat pesawat komersial dan percubaan EU bagi melaksanakan undang-undang serta peraturan ke atas syarikat-syarikat gergasi AS.

Beliau juga berhadapan dengan perang perdagangan dengan China, isu nuklear dengan Iran, masalah-masalah melibatkan hubungan AS dengan negara Syria, Libya, Turki, dan Afghanistan serta isu mengenai kumpulan-kumpulan yang dilabelkan pengganas seperti IS termasuk Al-Qaeda dengan sekutu-sekutunya.

Namun, Biden juga dikatakan akan meneruskan rancangan Trump untuk mengekalkan kedutaan AS di Baitulmuqaddis tetapi menyokong penubuhan sebuah negara Palestin.

Trump sebelum ini mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada 2017 dan pada Mei 2018 kedutaan AS dipindah ke bandar itu dari Tel Aviv, Israel. - Agensi