Keputusan Kedah membatalkan cuti Thaipusam dianggap berat sebelah

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan Kedah pimpinan Pas untuk membatalkan cuti umum Thaipusam di negeri itu dianggap sebagai keputusan berat sebelah.

Menurut Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan walaupun dia sedar bahawa cuti Thaipusam adalah hak prerogatif negeri, namun keputusan tersebut menunjukkan keangkuhan pemerintah Kedah.

Tambahnya meskipun penganut Hindu tidak dibenarkan meraikan Thaipusam di kuil ketika pandemik Covid-19, Kerajaan Kedah tidak boleh mengisytiharkan ketiadaan cuti umum bagi perayaan tersebut sewenang- wenangnya kerana keputusan itu tidak boleh diterima sama sekali.

"Hanya kerana kita tidak dapat pergi ke kuil tidak bererti kita tidak dapat merayakannya di rumah.

"Penganut Hindu di Malaysia jelas kesal dan terganggu dengan pengumuman oleh Menteri Besar kerana ini adalah perayaan yang disambut oleh penganut Hindu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan tidak akan ada cuti umum untuk Thaipusam di negeri Kedah pada tahun ini, kerana semua aktiviti pada perayaan tersebut telah dibatalkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Menteri sumber Manusia itu turut mengingatkan Pas bahawa tindakan akan merugikan gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang.

“Menteri Besar kena ingat bahawa partinya (Pas) juga merupakan anggota gabungan itu".

Artikel Berkaitan:

“Sebarang keputusan seperti yang diumumkan hari ini seharusnya dibuat setelah berunding dengan wakil India dalam kerajaan persekutuan, yang merupakan MIC.

"Apa yang pasti MIC tidak pernah dimaklumkan mengenai tindakan ini. MIC tidak akan membiarkan keputusan seperti itu dilaksanakan. " katanya.

Ujar Saravanan lagi pemerintahan Pas di Kedah harus menyedari bahawa terdapat kawasan beberapa kawasan di negeri tersebut yang mempunyai majoriti kaum India dan beragama Hindu.

Katanya, langkah ini pasti akan menimbulkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan penganut Hindu di Kedah.

"Langkah itu juga akan merugikan koalisi yang berkuasa pada pilihan raya umum karena luka ini sangat susah untuk disembuhkan," katanya