Isu dana RM90 juta: Keyakinan ahli Pas tidak luntur

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Pas menerima dana RM90 juta tidak sedikitpun melunturkan keyakinan ahli terhadap kepimpinan parti itu.

Malah, Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, apa yang menimpa parti mengukuhkan lagi ikatan antara pemimpin dengan ahli parti tersebut dalam meneruskan perjuangan.

Menurutnya, Muktamar Pas yang bakal berlangsung bermula Mei ini akan menjadi manifestasi ahli terhadap parti dan kepimpinan.

"Kita akan lihat (bukti) keutuhan ahli dalam Muktamar Pas Mei dan Muktamar Pusat pada Jun selepas Syawal nanti," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat kes Pas terima dana RM90 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM90 juta: Nik Abduh, Husam, Nasharudin dipanggil SPRM

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah dan Clare turut menarik balik tuntutan balas terhadap Ahli Parlimen Marang itu.

Susulan daripada perkembangan itu, Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan pihaknya memulakan siasatan berhubung kes dana RM90 juta yang diterima Pas.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

Mereka ialah antara empat individu disenarai awal oleh SPRM sebagai saksi penting bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima RM90 juta dikatakan daripada 1MDB.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, apa yang berlaku dalam Pas tidak layak dipanggil krisis sebaliknya hanya satu perkembangan mutakhir yang terlampau kecil bagi sebuah parti yang mempunyai keahlian kira-kira 1 juta.

"Apa yang berlaku terhadap Pas berbanding parti-parti lain di negara ini jauh lebih kecil. Sebut sahaja mana-mana parti seperti Umno dan parti-parti dalam PH.

"Bahkan dalam PKR sendiri telah terbelah kepada dua dan ia tidak dapat dinafikan. Apa yang berlaku dalam Pas hanya isu kecil yang tidak akan mengugat kepercayaan ahlinya dan ia hanya ribut kecil dalam cawan," katanya.