X

Kindly register in order to view this article
!

Beri peluang kepada generasi baru

Hussamuddin
A
A
ASSALAMUALAIKUM dan salam hormat buat semua,

Izinkan saya berkongsi tentang diri saya sebagai seorang usahawan dan sebagai pemimpin di dalam 'kerajaan kecil' organisasi saya, dan ini menjadi cara untuk saya cuba memahami kerajaan yang lebih besar di dalam konteks sebuah negara.

Saya dibesarkan di Kota Bharu, Kelantan oleh ibu dan ayah yang mengajarkan saya tentang banyak nilai mulia dalam kehidupan.

Ayah adalah idola dan hero saya. Dia menjalankan perniagaan, membuka toko buku kecil di Bandar Kota Bharu dan dia juga seorang ayah yang amat menitikberatkan agama di dalam membentuk nilai diri anak-anak.

Ayah saya merupakan antara Pengasas kepada Sekolah Menengah (Agama) Naim Lil Banat di Kelantan. Banyak pesan ayah yang saya pegang sehingga saat ini.

Saya membangunkan Karangkraf 43 tahun yang lalu dengan nilai yang banyak ayah saya ajarkan.

Karangkraf berkembang tahun demi tahun sehingga tahun 2013, Karangkraf berada di kemuncak prestasinya dengan pulangan jualan tahunan hampir setengah billion ringgit.

Perniagaan pada saat itu mencatat keuntungan yang sangat tinggi dengan jumlah kekuatan kakitangan hampir 1,500 orang.

Pada 2013 berlaku digital disruption. Kami seolah-olah dihentam badai besar. Sikap, tabiat cara hidup berubah secara amat drastik. Jualan jatuh menjunam. Kami beroperasi dalam keadaan rugi.

Namun syukur Alhamdulillah, Karangkraf beruntung kerana kami masih mempunyai simpanan yang agak besar, terkumpul sebagai untung yang tidak digunapakai pada tahun-tahun sebelumnya.

Pelbagai pertukaran strategi berasaskan ilmu serta pengalaman yang dimiliki saya buat untuk cuba turn around the company, namun setiap langkah gagal.

Saya hilang 'the golden touch'. Semua tidak menjadi. Kejatuhan dan kerugian semakin parah. Game sudah berubah dan saya buntu.

Kompleks Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
Kompleks Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

Di dalam tempoh untuk terus survive, kami membawa masuk pula tenaga profesional bagi melakukan turn around, namun ia tidak banyak membantu.

Pada tahun 2020, saya melepaskan kepada generasi kedua kami untuk memimpin. Kami memberikan mereka kebebasan untuk mengendalikan syarikat mengikut cara mereka. Mereka muda tetapi berpengalaman.

Mereka lebih memahami gerak nadi pasaran. Transformasi berlaku. Mereka mengambil strategi berbeza dari kami.

Mereka menghasilkan produk dan pendekatan jualan yang lebih relevan dengan grup sasar di zaman ini.

The now way tanpa campurtangan daripada pengasas dan senior, kecuali kebijaksanaan, nilai, kebaikan serta kehormatan diri.

Hasilnya amat membanggakan, jualan melonjak naik, pasaran berkembang, kami kembali membina Karangkraf dalam suasana mencabar ini, Alhamdulillah.

Saya berkongsi ini bukan untuk riak, tetapi ini harapnya menjadi ajakan secara umum kepada semua otai, orang lama dalam politik, kerajaan dan badan korporat, persatuan dan sebagainya bahawa sudah tiba masanya untuk kita melepaskan kedudukan kita, kepimpinan kita kepada orang baru, generasi baru.

Berhentilah mengagungkan masa lampau kita, merasakan kitalah yang terbaik, cara kita adalah yang terbaik dan tiada yang sebaik kita. Waktu telah berubah. Suasana telah berubah.

Cara fikir juga berubah, keutamaan juga telah bertukar. Hatta makanan yang diambil juga telah berubah!

Saya belajar dari pengalaman saya membina kerajaan kecil, Karangkraf. Saya melihat dengan rasa hiba akan suasana politik yang berlaku dalam negara ini saat ini, negara tempat saya, keluarga dan sahabat saya bernaung membina kehidupan.

Saya belajar dari pendahulu untuk membina Karangkraf, sehingga ia berkembang sejahtera, berhadapan dengan cabaran serta kejatuhan dan sedang dibina kembali oleh generasi kedua.

Saya perlu memberikan laluan, kepercayaan, nasihat dan doa kepada generasi yang sedang berusaha keras menguruskan Karangkraf yang saya percaya mereka juga mempunyai cinta yang tidak berkurang kepada organisasi ini seperti kami yang memulakannya dahulu.

Apa yang saya ingin sampaikan, berikanlah peluang kepada generasi baru ini untuk memimpin organisasi, parti, mahupun kerajaan.

Kita sudahpun mendapat peluang dan masa kita. Berhentilah bergantung atau terus melakukan cubaan untuk berpaut pada kedudukan serta kuasa dalam cubaan agar dapat terus memimpin.

Sudah sampai waktunya kita siapkan tangga untuk para pemimpin baru pula mengambil alih. Pimpin tangan mereka, pandu dan lihat mereka dari belakang ketika mereka sedang mendaki tangga kepimpinan itu.

Ikhlaslah melepaskan dan memberi laluan. Bantulah saat mereka teraba-raba. Ini waktu mereka. Kita tidak tahu kemampuan mereka selagi mereka tidak diberikan peluang untuk memimpin. Mungkin mereka akan jauh lebih baik dari kita.

Step back, give way, give them the baton.

Ini masa mereka, dan biarkan mereka melakar masa hadapan mereka. Kita berhutang kepada generasi baru, lepaskan, beri kepercayaan dan bimbingan. Cabaran saat ini perlukan penyelesaian dan “bahasa” di zaman ini. Cara kita mungkin tidak lagi relevan.

Terima hakikat dan berhentilah ketika hormat orang masih ada kepada kita. It is ok andai kejayaan itu bukan di tangan kita tetapi kita telah menjadi sebahagian daripada catatan sejarah negara yang telah berjasa kepada bangsa, agama dan negara ini.

Beranilah untuk melepaskan semua pinjaman ini kerana pada akhirnya kita akan dipanggil pulang dan dipertanggungjawabkan atas semua perkara yang kita lakukan dan tidak kita lakukan dengan betul di hadapan Tuhan nanti.

Mohon maaf zahir dan batin.

Salam takzim dari saya.

Hussamuddin Haji Yaacub


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!