X

Kindly register in order to view this article
!

Carilah pelaburan yang halal

A
A

TAHUN 2021 ini nampaknya bermula dengan suatu yang tidak menjanjikan kegembiraan kepada rakyat Malaysia.

Banjir yang melanda di beberapa negeri terutama Pahang telah menyebabkan kerugian yang banyak.

Mangsa banjir sudah tentu kehilangan banyak harta.

Dalam masa yang sama, angka kes baharu Covid-19 makin bertambah sehingga mencapai empat angka.

Bukan itu sahaja, dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang merangkumi keseluruhan negeri di Malaysia banyak memberi kesan kepada semua rakyat.

Dengan PKP kali pertama dahulu, kita boleh lihat betapa ramainya yang hilang pekerjaan atau dipotong gajinya.

Saya menjangkakan PKP 2.0 ini akan memberi kesan yang lebih besar kepada rakyat.

PKP 2.0 akan menjadikan rakyat berada dalam keadaan yang lebih sukar dan lebih terdesak berbanding sebelumnya.

Di tengah gelombang kesukaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia hari ini, lahir pelbagai pihak menawarkan peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan yang sangat menarik di media sosial.

Mereka memang bijak mengambil peluang dalam situasi semua orang sedang berfikir bagaimana untuk menambah punca pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Islam tidak melarang kita berusaha menambah kekayaan. Tiada satu dalil pun baik daripada al-Quran atau hadis yang menunjukkan larangan mencari kekayaan.

Malah, galakan untuk mencari rezeki (menambah kekayaan) dinyatakan dengan jelas dalam Surah al-Jumuah ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia ALLAH, serta ingatlah akan ALLAH banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Namun, Islam tidaklah memberikan kebebasan mencari kekayaan itu tanpa apa-apa syarat.

Setiap harta yang kita peroleh mestilah melalui cara yang dibenarkan oleh syarak. Kekayaan yang kita peroleh itu mestilah bebas unsur-unsur negatif yang dilarang dalam Islam seperti riba, gharar dan penipuan.

Berbalik kepada isu tawaran dan iklan pelaburan yang banyak di media sosial sekarang, rakyat Malaysia perlu berhati-hati supaya tidak terjebak dengan pelaburan berbentuk skim cepat kaya biarpun pada iklan tersebut dinyatakan ia patuh syariah sekali pun.

Sebelum melabur, semaklah dan bertanyalah kepada mereka yang pakar agar kita tidak tertipu dan kehilangan duit pelaburan begitu sahaja.

Malah bagi orang Islam pula, jika mahu pendapatan kita diberkati, hendaklah dipastikan bahawa kita hanya melabur dalam pelaburan yang benar-benar diyakini patuh syariah.

Mengambil sikap berhati-hati dengan cara membuat semakan di laman sesawang Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terhadap skim pelaburan yang telah disenarai hitam adalah satu tindakan yang bijak.

Selain daripada itu, orang ramai hendaklah mengambil sikap menjauhi mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan satu pulangan tetap yang terlalu lumayan atau dalam bahasa Inggeris disebut too good to be true.

Jangan kita terpedaya hanya kerana skim tersebut dipromosi oleh orang yang kita kenal misalnya. Menjadi tanggungjawab kita untuk membuat semakan dan bertanya kepada pelbagai pihak sebelum membuat keputusan untuk terlibat dalam pelaburan tertentu.

Apatah lagi jika kita ingin menggunakan duit i-Sinar misalnya untuk mengejar laba segera yang dijanjikan. Jangan nanti kita diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.

Sebagai orang Islam, melabur dalam skim pelaburan halal itu adalah wajib. Jangan kita jijik untuk makan khinzir sahaja tetapi dalam soal pelaburan kita hanya memejamkan mata terhadap isu halal. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!