Beratur panjang bawa tangki oksigen

Ahli keluarga pesakit Covid-19 di Brazil sanggup beratur panjang selama berjam-jam demi untuk mengisi tangki oksigen. - Foto: Agensi
Ahli keluarga pesakit Covid-19 di Brazil sanggup beratur panjang selama berjam-jam demi untuk mengisi tangki oksigen. - Foto: Agensi
A
A
A

BRASILIA - Ahli keluarga pesakit Covid-19 di Brazil sanggup beratur dalam barisan yang panjang selama berjam-jam demi untuk mengisi tangki oksigen bagi membantu golongan itu yang mengalami kesukaran bernafas di tengah-tengah ancaman virus bermutasi yang kini melanda negara itu.

Media tempatan melaporkan ada yang menunggu giliran sejak subuh hingga senja tanpa mengira hujan atau panas di luar pusat kemudahan oksigen Carboxi tersebut.

Ketika ini, negeri Amazonas dibanjiri kes varian baharu hingga memaksa doktor di bandar Manaus menentukan pesakit mana yang wajar diberikan bantuan oksigen yang semakin berkurangan.

Difahamkan, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro yang sering mengkritik rakan sejawatannya di Brazil, Jair Bolsonaro turut menghantar lori membawa 3.78 juta kaki kubik oksigen untuk membantu Amazonas.

Bolsonaro bagaimanapun menyindir tindakan Maduro.

"Kami akan menerima bantuan itu dengan tangan terbuka jika anda mahu menawarkan oksigen kepada kami. Tetapi, beliau sepatutnya memberikan bantuan kecemasan kepada rakyatnya juga. Gaji minimum di sana tidak dapat membeli setengah kilogram beras," sindirnya.

Setakat ini, Brazil telah merekodkan 210,000 kematian akibat Covid-19 yang merupakan angka kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.

Pada akhir minggu lalu, Kementerian Kesihatan Brazil turut menghantar tujuh loji penghasil oksigen yang dapat membekalkan oksigen kepada 100 unit rawatan rapi (ICU). - Agensi

Artikel Berkaitan: