Siapa diktator, Tan Sri Muhyiddin atau Tun Dr Mahathir?

Dr Mahathir, Muhyiddin
Dr Mahathir, Muhyiddin
A
A
A

TUN Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang diktator kerana kononnya demokrasi tidak lagi wujud dan rakyat tidak lagi boleh bersuara setelah Proklamasi Darurat memberi beliau kuasa penuh untuk melakukan apa sahaja.

Diktator adalah pemerintah yang akan memastikan semua kuasa berada dalam tangan beliau, memastikan cabang pemerintahan lain tidak berani melawan kehendak beliau dan memastikan rakyat membisu dengan membuat segala macam peraturan bagi mengawal mereka.

Apa sangatlah yang Tan Sri Muhyiddin telah lakukan mengenai Proklamasi Darurat baru-baru ini berbanding apa yang selama ini Tun Dr Mahathir telah lakukan mengenainya sepanjang beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri selama ini?

Amat ramai tokoh-tokoh perundangan ternama, termasuk sarjana dalam bidang perlembagaan seperti Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz dan Prof Madya Datuk Dr Wan Fauzi Wan Husain yang menyatakan ia dibuat mengikut prosedur.

Begitu juga dengan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan/atau mantan Peguam Negara seperti Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tan Sri Abu Talib Othman dan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang rata-rata bersetuju ia adalah di dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan.

Tidak ada sebarang pemusatan kuasa ke atas Perdana Menteri berlaku kerana Seksyen 11(a) dan Seksyen 11(b) Ordinan Darurat menyebut bahawa, selain Perdana Menteri dan Ketua Menteri, Jemaah Menteri dan Kabinet Negeri hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif.

Begitu juga dengan kedudukan badan kehakiman yang telah dijamin akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan, malah diikuti dengan penegasan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan kebebasannya dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

Diktatorkah namanya bila Proklamasi Darurat hanya dijanjikan untuk berkuat kuasa mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 sahaja tatkala Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memberikan kuasa untuk kerajaan menguatkuasakannya secara tidak bertempoh (indefinitely)?

Artikel Berkaitan:

Diktator manakah yang sanggup menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas yang turut merangkumi wakil parti-parti pembangkang untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong jika ada keperluan untuk menamatkan Proklamasi Darurat lebih awal dari tarikh yang ditetapkan?

Diktator manakah yang berani memberikan komitmen yang tegas bahawa Pilihan Raya Umum akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas memperakukan bahawa wabak Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan?

Malah, jelas sekali bahawa tiada unsur-unsur politik yang wujud di dalam Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, di mana kesemua butirannya adalah bertujuan untuk membolehkan pengawalan wabak Covid-19 dibuat dengan lebih berkesan.

Tidak ada pun sekatan dan kawalan ke atas kebebasan asasi rakyat, termasuk kebebasan bersuara dan berpolitik, di mana tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat umpamanya hanyalah di dalam konteks untuk memerangi wabak Covid-19.

Perlu diingat bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menolak nasihat Jemaah Menteri supaya mengisytiharkan Proklamasi Darurat bila ia pertama kali disembahmaklum pada 25 Oktober 2020 kerana baginda berpendapat tiada keperluan buat masa itu untuk mengisytiharkannya.

Duluan mengikat dalam isu pengisytiharan Proklamasi Darurat, iaitu penghakiman di dalam kes Teh Cheng Poh v PP [1979] 1 MLJ 50, adalah bahawa pendapat atau kepuasan hati Yang di-Pertuan Agong adalah merujuk kepada pendapat atau kepuasan hati Jemaah Menteri.

Diktatorkah namanya pemimpin yang akur tidak melawan bila keputusan Jemaah Menteri beliau tidak diikuti walaupun penolakan itu ditanggapi oleh pakar-pakar perundangan tidak selari dengan peruntukan perlembagaan dan tafsiran mahkamah ke atas peruntukan itu?

Bandingkanlah tindakan Tan Sri Muhyiddin ini dengan tindakan Tun Dr Mahathir yang telah memusatkan pelbagai jenis kuasa yang ada ke dalam tangan beliau, termasuklah kuasa yang asalnya adalah dipunyai oleh Yang di-Pertuan Agong dan/atau oleh Raja-Raja Melayu.

Lupakah kita pada 1 Ogos 1983 Tun Dr Mahathir telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) di Dewan Rakyat bagi memindahkan kuasa mengisytiharkan Proklamasi Darurat daripada Yang di-Pertuan Agong kepada beliau sebagai Perdana Menteri?

Tahukah generasi baru Malaysia bahawa pemindahan kuasa mengisytiharkan Proklamasi Darurat ini telah diluluskan oleh Parlimen dan telah dikuatkuasakan melalui Akta A566 pada 16 Disember 1983 sebelum ditarik balik semula melalui Akta 584 pada 20 Januari 1984?

Lupakah kita Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) pada 1 Ogos 1983 ini juga telah menghakis kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan memperuntukkan bahawa baginda hendaklah disifatkan telahpun memperkenankan rang undang-undang selepas tempoh 15 hari?

Lupakah juga kita pada 18 Januari 1993 Tun Dr Mahathir telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) bagi menghapuskan kekebalan Raja-Raja dan bagi membenar semula wakil-wakil rakyat menegur dan mengkritik Raja-Raja dalam perbahasan mereka?

Begitulah juga dengan pelbagai tindakan Tun Dr Mahathir untuk memastikan cabang pemerintahan lain tidak berani melawan kehendak beliau, khususnya cabang kehakiman, yang terpateri melalui pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara pada 8 Ogos 1988.

Tahukah anak-anak muda sekarang bahawa pada 17 Mac 1988 Tun Dr Mahathir telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) yang “menghapuskan peruntukan tentang meletakhak kuasa-kuasa kehakiman pada mahkamah-mahkamah”?

Masih boleh jelas dibaca teks ucapan Tun Dr Mahathir pada hari itu yang menyebut tujuan utama Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) itu dibuat adalah bagi memastikan bidang tugas kuasa eksekutif tidak dapat “disentuh” atau “diganggu” oleh cabang kehakiman.

Begitulah juga dengan pelbagai pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan dan ke atas pelbagai undang-undang yang telah dibentangkan oleh Tun Dr Mahathir bagi memastikan cabang kehakiman tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menyemak tindakan pihak eksekutif

Tahukah rakyat Malaysia bahawa insan sebenar yang menyebabkan sekarang ini Proklamasi Darurat tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah adalah Tun Dr Mahathir yang telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) tersebut pada 9 April 1981?

Ia diikuti oleh tindakan beliau membentangkan Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) pada 3 Disember 1987 yang menghalang keputusan Menteri menolak permohonan, membatal atau menggantung lesen atau permit daripada dicabar di mahkamah.

Seterusnya ialah tindakan beliau membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri (Pindaan) pada 23 Jun 1989 bagi menghalang perintah tahanan yang dibuat oleh Menteri daripada dipersoalkan di mahkamah ekoran beberapa cabaran ke atasnya sebelum itu.

Tidak lupa juga Rang Undang-Undang Pertubuhan (Pindaan) pada 13 Disember 1989 yang menghalang apa-apa pertikaian politik daripada dibawa dan dibicarakan di mahkamah, kerana mahkamah kononnya mempunyai banyak kes-kes lain, yang dibentangkan sendiri oleh beliau.

Sejak beliau menjadi Menteri Pelajaran lagi, tetapi khususnya setelah beliau menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga terkenal dengan pelbagai tindakan yang beliau buat untuk menutup mulut rakyat dengan membuat segala macam peraturan bagi mengawal mereka.

Terulung selaku Menteri Pelajaran beliau membentangkan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) pada 8 April 1975 yang melarang pelajar universiti menjadi ahli atau menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada parti politik atau kesatuan sekerja.

Beliaulah juga insan yang membentangkan Rang Undang-Undang Rahsia Rasmi (Pindaan) pada 5 Disember 1986 bagi memberi kuasa kepada Menteri untuk menambah perkara-perkara "rahsia" dan meninggikan hukuman ke atas pesalah menjadi penjara minima satu tahun.

Beliaulah juga yang membentangkan Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) pada 3 Disember 1987 bagi memberi kuasa kepada Menteri untuk melulus, membatal atau menggantung sesuatu lesen atau permit, sekali gus mengekang kebebasan bersuara.

Begitulah seterusnya tindakan beliau membentangkan Rang Undang-Undang Polis (Pindaan) pada 4 Disember 1987 yang menyekat teruk kebebasan rakyat untuk berhimpun, berjumpa dan berarak dengan cara mengetatkan peraturan, syarat dan hukuman ke atas penganjurannya.

Oleh itu, pesanan saya kepada semua pihak yang pernah memegang kuasa ialah, sebelum menuduh secara semberono seseorang lain sebagai diktator, ingat dan telitilah sama segala tindakan yang kita semua pernah lakukan kerana rakyat tidak lupa dan rekod tetap ada.

*Dr Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia.