Rugi puluhan ribu ringgit, pekerja lari ke majikan lain

Shanmugam ketika meninjau aktiviti kerja pekerja asing di kilangnya di Taiping.
Shanmugam ketika meninjau aktiviti kerja pekerja asing di kilangnya di Taiping.
A
A
A

TAIPING - Sebuah syarikat pengeluar tiub dan tayar di sini merekodkan kerugian puluhan ribu ringgit setiap hari sejak tiga bulan lalu selepas 30 pekerja asingnya lari menyertai sektor lain kesan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja yang diperkenalkan kerajaan pada November tahun lalu.

Everthrough Rubber Products Sdn Bhd yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Kamunting sejak 33 tahun lalu menggunakan 60 peratus khidmat pekerja asing kebanyakannya dari Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Pengurus Bahagiannya, K Shanmugam berkata, usaha kerajaan menerusi pelan rekalibrasi itu adalah untuk membasmi pendatang asing tanpa izin (PATI), namun ada ejen dan pekerja mengambil kesempatan untuk menyertai majikan lain yang memberi tawaran gaji lebih lumayan.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan ini, sudah terdapat 30 pekerja mereka yang masih mempunyai kontrak dengan syarikat, lari untuk bekerja di sektor perkilangan sarung tangan.

"Keadaan ini sudah tentu menjejaskan operasi pengeluaran dan perancangan syarikat kerana kita sudah kekurangan tenaga kerja.

"Tanpa sebarang makluman, mereka lari meninggalkan kerja untuk pergi ke majikan lain, sedangkan selama ini, pihak syarikat yang menanggung bayaran levi dan permit untuk menjadikan mereka pekerja asing yang sah," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sekiranya keadaan itu berterusan, syarikat akan mengalami kekurangan pekerja secara drastik sekali gus menjejaskan pengeluaran.

Katanya, pada masa ini, 70 peratus daripada pengeluaran syarikatnya untuk pasaran tempatan, manakala selebihnya dieksport ke beberapa negara antaranya Vietnam dan Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan makluman diperoleh, ejen menawarkan gaji bulanan sehingga RM2,400 untuk bekerja di kilang sarung tangan berbanding gaji di syarikat ini antara RM1,200 ke RM1,700.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu, syarikat sudah mengalami kerugian RM2.2 juta kesan pandemik Covid-19 dan kini ditambah pula dengan masalah ini," katanya.

Justeru pihaknya berharap, kerajaan mengkaji semula kesan pelaksanaan pelan rekalibrasi ini secara terperinci atau melibatkan pihak yang berautoriti dalam menentukan sesuatu pelan baharu membabitkan pekerja asing.

"Bukan hanya syarikat kami, kilang-kilang lain pun berdepan masalah sama dan ini bukan sesuatu yang bagus untuk masa depan industri negara," katanya.