Selamba lempar sampah ke dalam sungai

Aksi salah seorang pelaku yang membuang sampah ke dalam sungai di Bukit Kapar 2, Klang yang dirakam CCTV.
Aksi salah seorang pelaku yang membuang sampah ke dalam sungai di Bukit Kapar 2, Klang yang dirakam CCTV.
A
A
A

KLANG - Tanpa rasa malu dan bersalah, tiga penunggang motosikal dikesan dengan selamba membuang sampah ke dalam sungai yang terletak di Bukit Kapar 2, di sini.

Ia termasuk seorang lelaki yang dilihat melempar plastik hitam besar ke dalam sungai berkenaan pada siang hari walaupun telah dipasang papan tanda larangan membuang sampah di kawasan itu.

Perbuatan tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum dikongsikan di Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar pada Rabu.

Mohd Fakhrulrazi mengecam perbuatan tersebut yang menurutnya antara punca menyumbang masalah banjir dan pencemaran lain.

Beliau berkata, pendedahan tersebut membuktikan masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak peka isu pemeliharaan sungai dan mengambil jalan mudah membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

"Mereka tidak tidak sedar perbuatan tersebut memberi kesan besar khususnya pencemaran. Secara tidak langsung menunjukkan mentaliti mereka yang tidak bertamadun dan amat mendukacitakan.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas kepada pelaku dan meminta kerjasama orang awam untuk menularkan video ini bagi memberikan pengajaran kepada pelaku dan peringatan buat pihak yang mahu melakukan kesalahan sama," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut katanya, pelaku berdepan tindakan tegas selepas kerajaan negeri meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan pencemaran sungai dengan denda maksimum RM1 juta serta penjara mandatori.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan tindakan untuk menzalimi rakyat tetapi langkah pencegahan. Inilah masalah (pencemaran sungai) yang dihadapi rakyat Selangor.

"Kita tak boleh meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan semata-mata, tidak guna ada undang-undang yang tegas jika mentaliti atau sikap masih tidak berubah.

"Rakyat perlu bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memberi maklumat, memantau dan mencegah supaya isu berkaitan pembuangan sampah ke dalam sungai dapat diatasi," katanya.