Kerajaan perlu strategi jangka panjang hadapi pasca PKP, darurat

Syahir Sulaiman
Syahir Sulaiman
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengemukakan sebuah strategi ekonomi dan pelaburan jangka panjang bagi mempersiapkan negara untuk menghadapi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Syahir Sulaiman berkata, ini kerana situasi semasa yang dihadapi oleh negara ketika ini menuntut kepada suatu ‘formulasi’ jangka pendek dan jangka panjang yang merangkumi langkah pemulihan bagi menyokong pemulihan yang lebih mampan.

Syahir berkata, tindakan jangka panjang yang bakal dikemukakan itu perlulah melibatkan pemulihan sosioekonomi dan pelaburan masa hadapan khususnya bagi menangani isu keciciran pelajar dan lambakan graduan.

Katanya, turut perlu dirangkumkan dalam strategi tersebut adalah kewujudan insentif khas untuk menjana pekerjaan anak tempatan, meningkatkan daya usahawan dan usaha menarik pelaburan berimpak tinggi dalam negara.

“Pendekatan ini akan meningkatkan keyakinan dan kebersamaan rakyat, peniaga serta pelabur terhadap langkah-langkah pemulihan jangka pendek dan jangka panjang yang diambil oleh Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Jelasnya, kerajaan ketika ini dilihat berada di landasan yang betul dalam usahanya menstabilkan keadaan negara melalui beberapa langkah yang telah diumumkan seperti pelaksanaan PKP dan darurat serta beberapa siri suntikan pakej fiskal sejak tahun lepas.

Antara pakej fiskal yang dimaksudkan Syahir dalam kenyataannya adalah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan yang terbaharu pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Menurut Syahir, perkara itu diakui sendiri oleh beberapa firma penyelidikan dan pakar ekonomi yang memberikan penilaian positif berkenaan keupayaan inisiatif yang diambil kerajaan untuk merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengekalkan momentum pemulihan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, susulan daripada pengumuman pakej bantuan Permai pada Isnin, beberapa pakar ekonomi negara berpendapat bahawa pakej terbaharu itu dijangka bakal mengurangkan kesan lonjakan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan PKP 2.0 ke atas pertumbuhan KDNK suku pertama selain menyokong pemulihan ekonomi.

Pada masa sama, Syahir turut mencadangkan beberapa inisiatif lain yang perlu dilakukan kerajaan antaranya seperti melakukan usaha menjejak dan mendengar keluhan rakyat, khususnya segmen pekerja dan peniaga kecil melalui tinjauan yang lebih mikro.

Beliau berkata, pendekatan tersebut akan memastikan supaya kerajaan dapat memenuhi keperluan rakyat secara lebih bersasar dan berkesan serta mengelakkan berlakunya sebarang keciciran dalam pemberian bantuan.

“Selain itu, kerajaan juga perlu menyambut baik segala kritikan dan saranan yang dikemukakan, merentasi kepakaran dan politik kepartian (bi-partisan).

“Pendekatan ini akan menghasilkan persaingan idea yang lebih baik dan tawaran polisi yang lebih inklusif, demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.