Pembelian minyak masak paket meningkat

Pemeriksaan di Kedah mendapati tiada isu kekurangan bekalan minyak masak subsidi satu kilogram.
Pemeriksaan di Kedah mendapati tiada isu kekurangan bekalan minyak masak subsidi satu kilogram.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada timbul isu kekurangan bekalan minyak paket bersubsidi di Kedah seperti yang didakwa sesetengah pihak pada Ahad.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Wan Romani Wan Salim berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah sudah menjalankan pemeriksaan dan siasatan berkaitan perkara itu.

Bagaimanapun katanya, terdapat peningkatan pembelian minyak masak paket bersubsidi satu kilogram mungkin disebabkan berlaku kenaikan harga minyak masak dalam botol.

“Pemeriksaan turut dijalankan ke atas 21 syarikat pembungkus minyak masak di Kedah bagi melihat sama ada berlaku pengurangan kuota minyak masak bersubsidi yang boleh menjejaskan bekalan.

“Hasil pemeriksaan mendapati hanya dua syarikat pembungkus minyak masak yang tidak aktif dan selebihnya beroperasi seperti biasa mengikut kuota yang telah ditetapkan bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS),” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, pemantauan akan dilaksanakan setiap hari bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan selain bekalan minyak masak paket bersubsidi sentiasa ada di pasaran.

“Maklum balas daripada peniaga juga mendapati tiada isu kekurangan bekalan tersebut kerana mereka masih menerima bekalan daripada pembekal dan tidak berlaku pengurangan kuantiti.

“Hampir setiap premis yang diperiksa mempunyai stok minyak masak bersubsidi dan tidak berlaku terputus bekalan dalam tempoh yang lama,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau turut menasihati peniaga supaya memastikan minyak masak bersubsidi tidak terputus bekalan selain tidak menjual dalam kuantiti yang banyak serta mengutamakan pengguna akhir.

Ahad lalu, media tempatan melaporkan terdapat kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di Kedah terutama di tiga daerah membabitkan Kota Setar, Pendang dan Langkawi.