X

Kindly register in order to view this article
!

Keluarga Nora Anne akan fail semakan keputusan mahkamah koroner

Nora Anne
A
A

KUALA LUMPUR - Keluarga Nora Anne Quoirin akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Koroner Seremban yang memutuskan kematian remaja perempuan Ireland-Perancis itu disebabkan oleh peristiwa malang.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam keluarga mendiang di Malaysia, Louise Azmi, ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

“Ya, kami telah menerima arahan daripada keluarga mendiang untuk mengemukakan permohonan semakan berkenaan. Kami akan memfailkannya di Mahkamah Tinggi Seremban secepat mungkin,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan bapa saudara Nora Anne terima mesej bomoh

4 Januari tarikh keputusan inkues Nora Anne

Kematian tragik Nora Anne tajuk berita utama media antarabangsa

Pada 4 Januari lalu, Koroner Maimoonah Aid, dalam hujahnya, berkata kematian remaja berusia 15 tahun itu juga bukan berpunca daripada unsur jenayah dan tiada pembabitan pihak ketiga dalam kes berkenaan.

Prosiding inkues itu diadakan bagi menentukan punca kematian remaja perempuan itu yang bermula sejak 24 Ogos hingga 10 Disember tahun lalu membabitkan seramai 48 saksi termasuk ibu bapa remaja berkenaan, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin.

Nora Anne, didapati hilang pada 4 Ogos 2019 sehari selepas beliau dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di pusat peranginan di Pantai, Seremban, kira-kira 60 kilometer dari sini.

Pada 13 Ogos, iaitu 10 hari selepas Nora Anne dilaporkan hilang, mayatnya ditemukan berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan yang beliau dan keluarganya menetap, susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berkuasa berkaitan.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan pihak berkuasa kesihatan meninggal dunia akibat pendarahan usus disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!