Bekalan minyak masak di Kelantan cukup

Pegawai Penguat kuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Kelantan membuat pemeriksaan terhadap bekalan minyak masak di sekitar negeri ini.
Pegawai Penguat kuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Kelantan membuat pemeriksaan terhadap bekalan minyak masak di sekitar negeri ini.
A
A
A

KOTA BHARU -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan memaklumkan bekalan minyak masak di negeri ini mencukupi.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, bagaimanapun, peniaga dibenarkan membuat had pembelian minyak masak pek polibeg satu kilogram (kg) bersubsidi sebanyak tiga unit per transaksi sahaja.

Menurutnya, ia adalah bagi memastikan bekalan stabil dan tidak menyebabkan berlaku pembelian panik serta pengguna berpeluang memperoleh bekalan minyak masak.

“Pegawai Penguat kuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Kelantan sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harian membabitkan peruncit, pemborong dan juga pembungkus minyak masak di seluruh negeri.

“Selain itu, KPDNHEP negeri turut membuat pemantauan peruncit dan pemborong terpilih (dedicated retailers & dedicated wholesalers) yang telah dilantik di setiap daerah bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, berdasarkan pemantauan, harga minyak masak bagi pek 1kg bersubsidi adalah pada harga yang dikawal oleh kerajaan iaitu RM2.50.

“Harga minyak masak di dalam botol 5kg adalah sekitar RM24 sehingga RM27. Harga bagi minyak masak selain pek 1kg adalah tidak dikawal dan bergantung kepada harga pasaran semasa,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga dinasihatkan supaya tidak mengambil kesempatan dan sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan oleh kerajaan pada setiap masa.

Artikel Berkaitan:

“Pengguna juga diingatkan supaya membuat pembelian secara berhemah dan menggunakan aplikasi Price Catcher bagi mendapatkan perbandingan harga serta merancang sebelum membuat pembelian.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang melakukan penyeludupan barang kawalan ini di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.