X

Kindly register in order to view this article
!

60 penghuni terpaksa kongsi telefon untuk PdPR

Penghuni Pertubuhan Kebajikan Dan Bimbingan At Taqwa terpaksa bergilir-gilir berkongsi telefon bimbit bagi mengikuti sesi PdPR.
A
A

SHAH ALAM - Penghuni Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa, Puchong di sini terpaksa bergilir-gilir berkongsi telefon bimbit bagi mengikuti hari pertama sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengurusnya, Norhayati Wan Abib ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu turut mengakui berdepan cabaran besar dalam memastikan semua 60 penghuni mereka yang masih bersekolah dapat mengikuti sesi PdPR itu.

Norhayati berkata, pihaknya juga telah membuat persiapan awal dan turut menerima jadual daripada guru setiap penghuni mereka yang kebanyakannya merupakan anak yatim.

"Kami terpaksa mengumpulkan telefon saya, suami, anak dan kakitangan di sini untuk digunakan oleh murid dan pelajar bagi mengikuti PdPR.

"Pada masa ini, hanya ada 10 telefon yang digunakan untuk mengikuti PdPR ini dan mereka perlu berkongsi kemudahan itu buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, seorang bapa, Noor Najamuddin Mohd Nor, 41, berkata, setiap pihak perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan norma baharu antaranya melibatkan sesi persekolahan anak-anak yang berubah pada masa ini.

Najamuddin berkata, ibu-bapa juga perlu bekerjasama dengan guru bagi mengenal pasti kaedah terbaik dalam menjayakan sesi PdPR tersebut.

"Ini norma baru bersekolah, apa pun kita sebagai ibu bapa perlu bekerjasama dengan guru supaya anak tidak tertinggal silibus pembelajaran," katanya.

PdPR bermula Rabu bagi sesi persekolahan pada tahun 2021 di seluruh negara dalam memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited melaksanakan PdPR bagi membolehkan sesi pembelajaran diteruskan meskipun negara masih menghadapi penularan Covid-19 yang belum tamat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!