Jangan tergamak tuduh UMNO derhaka, kata Puad Zarkashi

Datuk Dr Puad Zarkashi
Datuk Dr Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM – Tuduhan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bahawa UMNO menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melampau, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.

Dakwanya, bekas Setiausahan Agung Barisan Nasional (BN) itu berniat jahat apabila beliau sengaja mentularkan surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Selasa.

"Annuar boleh puji melangit Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Itu hak dia. Tetapi jangan tergamak tuduh parti sendiri menderhaka kepada Raja seperti mana dia pernah buat di Kelantan dulu,” katanya menerusi entri di Facebooknya pada Rabu.

Kata beliau, asas dan tujuan UMNO disebut dengan jelas dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO bahawa parti itu mendukung dan mempertahankan perlembagaan negara, perlembagaan negeri dan Raja Berpelembagaan serta tiada kompromi mengenainya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Surat SUA UMNO cubaan menderhaka kepada Agong'

Surat pekeliling tersebar, usaha jelas UMNO tolak darurat

Katanya, tujuan ahli Parlimen menulis surat kepada baginda bagi memohon perkenan tuanku supaya satu sidang khas Parlimen dipanggil dan ia terpulang kepada budi bicara baginda.

“Kenapa itu dikatakan menderhaka? Ia termaktub jelas dalam Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Hanya YDPA berkuasa memanggil sidang khas semasa darurat bukan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu yang dipersoalkan ialah gelagat Perdana Menteri, iaitu gelagat beliau semasa ‘proses’ memberi nasihat kepada YDP Agong. Ketika itu dia tidak ada sokongan majoriti. Apakah dia bercakap benar.

“Lagi pun dalam ‘Warta Ordinan Darurat’ yang disiarkan, disebut dengan jelas di bahagian bawah selepas tanda tangan PM ‘akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan’,” katanya lagi.

Menurut Mohd Puad, ahli Parlimen bertindak mengikut klausa itu kerana Perdana Menteri dituduh melakukan ‘darurat politik’.

“Apa stabiliti yang beliau mahukan melalui darurat dan menggantung Parlimen.

"Apakah tempoh tujuh bulan sehingga Ogos pelabur asing akan masuk ke Malaysia? Darurat hanya menambah ketidaktentuan. Tiada ‘check and balance’. Pelabur tidak akan menunggu tujuh bulan lagi untuk datang,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan Perdana Menteri bahawa melalui darurat, Pusat Kesihatan swasta boleh dikerah membantu memerangi pandemik Covid-19 juga mengelirukan.

“Apakah Perdana Menteri tidak percaya komitmen mereka untuk membantu? Di samping itu tidak ada yang baru dalam Pakej Rangsangan yang diumumkan oleh PM.

“Inisiatif yang diumumkan kebanyakannya sudah ada dalam bajet 2021. Moratorium automatik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun macam bukan PKP. Orang bebas ke pusat membeli-belah dan tempat terbuka.

“Justeru tidak timbul soal menderhaka kepada YDPA. Tetapi Perdana Menteri tidak boleh dibenarkan berbohong dan menjadi semakin autokratik,” tegasnya.