Bantuan PKP melalui drive-thru, walk-thru

Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sumbangan bantuan kepada penduduk memerlukan di Kedah disarankan dilakukan secara 'drive-thru' atau 'walk-thru' dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi menyekang penularan virus Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kaedah berkenaan dicadangkan dilaksanakan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sering dikunjungi penduduk ingin memohon bantuan atau apa-apa khidmat.

"Sebelum ini, ada sumbangan seperti buah limau oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk masyarakat dilakukan secara drive-thru, tiada berkumpul dan majlis," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Ketika diminta mengulas peruntukan sumbangan untuk penduduk ketika PKP seperti dilakukan negeri lain, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan mempertimbangkan bantuan jika ada keperluan.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan wang perbelanjaan pengurusan untuk Pusat Khidmat DUN Kerajaan sebanyak RM8,000 manakala RM2,000 kepada Pusat Khidmat DUN Pembangkang seperti diputuskan sebelum ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Keselamatan Khas Covid-19 untuk membincangkan tindakan yang perlu diambil susulan perlaksanaan PKP di Kedah.

"Ada prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan sejak Mac 2020, bermula dengan PKP diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kemudian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebelum kembali kepada PKP.

"Saya fikir ada beberapa perubahan dalam SOP khususnya sektor ekonomi akan diberi ruang terbuka untuk beroperasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya juga telah membuat keputusan membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana di setiap daerah yang akan menyelaras bantuan dan keperluan sepanjang PKP di Kedah.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memberitahu sebarang sambutan dan aktiviti perayaan atau rumah terbuka tidak dibenarkan dalam tempoh PKP di Kedah.

"Hanya dibenarkan berdasarkan SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), misalnya kita akan menghadapi perayaan Thaipusam khususnya penganut Hindu iaitu hanya 1/3 dibenarkan ikut kapisiti kuil berkenaan,"katanya.