Scammer beli barang kemas guna duit individu lain

Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Azizul)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Azizul)
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga emas diperdaya hanya menerusi urusan jual beli melalui telefon bimbit sehingga kerugian barangan kemas bernilai RM49,600 pada Isnin lalu.

Wanita berusia awal 20-an itu turut teraniaya secara tidak sengaja apabila menjadi ‘suspek’ dalam kes penipuan jual beli kereta yang dipercayai dilakukan oleh sindiket sama dalam kejadian di negeri Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Kota Bharu menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik kedai emas berkenaan pada Isnin.

Beliau berkata, pada Ahad lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan ingin membeli barang kemas bernilai RM49,600 dari kedainya tanpa melihat dahulu barang yang hendak dibeli.

Katanya, pemanggil lelaki itu meminta nombor akaun bank dan mangsa menyerahkan butiran akaun kedai emas lalu membuat semakan dan mendapati wang RM49,600 sudah dimasukkan pada hari yang sama.

“Pada tengah hari esoknya, semasa berada di kedai emas itu di bandar Kota Bharu, datang seorang wanita mendakwa mewakili suspek untuk mengambil barang kemas berkenaan.

“Mangsa menyerahkan seutas rantai leher, beberapa utas rantai tangan dan beberapa gold bar emas 999.9 dengan nilai berjumlah RM49,600 kepada wanita tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada lewat petang hari sama, mangsa dihubungi oleh polis dari negeri Johor memintanya memberi kerjasama bagi membantu siasatan melibatkan wang RM49,600 yang dimasukkan oleh seorang individu lain iaitu mangsa jenayah penipuan yang berlaku di negeri Johor ke akaun bank milik peniaga tersebut di Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

“Tauke emas tersebut terus membuat laporan polis menafikan penglibatannya dengan kes penipuan jual beli kereta di Johor dan berasa teraniaya dalam urusan jual beli emas miliknya.

“Siasatan awal polis mendapati kes penipuan jual beli kereta di Johor tersebut berlaku pada Sabtu selepas mangsa lain itu yang berminat dengan satu iklan jualan kenderaan di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, mangsa di Johor itu kemudian menghubungi penjual (dipercayai suspek yang sama dengan kes Kota Bharu) dan melakukan dua transaksi bayaran iaitu RM2,400 pada Sabtu lalu ke satu akaun bank milik individu lain sebagai wang tempahan membeli kenderaan.

“Wang RM49,600 lagi dimasukkan pula pada keesokkan harinya ke akaun bank kedai emas milik peniaga wanita tersebut di Kelantan.

“Mangsa di Johor mengesyaki ditipu apabila suspek jurujual kereta itu tidak lagi dapat dihubungi dan kenderaan yang dibeli tidak diterimanya lalu membuat laporan polis pada Ahad,” katanya.

Menurut beliau, seterusnya, siasatan polis mendapati nombor talian yang digunakan suspek pernah terlibat dengan satu kes penipuan e-dagang (e-commerce fraud) melibatkan jual beli kenderaan yang tidak wujud di negeri Pahang pada Disember tahun lalu.

“Peringatan sentiasa diberikan kepada orang ramai supaya berwaspada dan menggunakan kemudahan Semak Mule yang disediakan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di http//ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau di aplikasi telefon pintar ‘Check Scammers CCID’ secara percuma.

“Semak dahulu nombor telefon dan akaun sebagai langkah pertama bagi mengelak diri daripada terpedaya dengan jenayah penipuan siber dan berhati-hati juga sekiranya nombor telefon serta akaun bank yang tiada rekod,” katanya.