Anwar rayu perkenan Agong benarkan sidang Parlimen

Anwar dalam sidang media atas talian pada Rabu.
Anwar dalam sidang media atas talian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa lebih majoriti ahli Parlimen menghantar surat untuk merayu dan memohon perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya sidang Parlimen dapat dilaksanakan dalam tempoh darurat.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sendiri telah mempersembahkan surat kepada Istana semalam dan tindakan mahkamah juga akan teruskan dalam masa terdekat.

Tegas beliau, langkah itu bukan untuk mencabar pengisytiharan darurat atau yang didakwa sebagai sembah derhaka sebaliknya untuk memastikan sidang Parlimen dapat dilaksanakan sekaligus menyekat kerajaan daripada menyalahgua kuasa.

"Bila kita persoal terus (keluar) istilah derhaka, ancaman keselamatan...cuba baca tuntutan kita. Sekarang ini, ahli Parlimen yang menulis warkah kepada Seri Paduka Baginda sudah mencecah lebih dari mejoriti.

"Maknanya majoriti bukan membantah, (tapi) merayu ihsan, kebijaksanaan Baginda Yang Dipertuan Agong untuk melihat hujah-hujah yang kami kemukakan untuk dipertimbangkan.

"Selain warkah daripada pembangkang, warkah juga daripada ahli parlimen kerajaan dan ini menunjukan bahawa kesediaan kita untuk muafakat, bekerjasama dan menjaga kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik kepartian yang terbatas,"katanya dalam sidang media atas talian pada Rabu.

Beliau menegaskan, walaupun dalam tempoh darurat sidang Parlimen boleh diteruskan seperti di bawah Perkara 150 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Parlimen berjalan seiring, menyegerakan beberapa langkah yang dirasakan perlu untuk keselamatan dan kepentingan negara.

"Urusan lain boleh kenapa parlimen tidak boleh? Nyata tidak ada keupayaan, kewibawaan pimpinan untuk mengeluarkan hujah dan menjawab mengulas. Bahaya besar supaya mereka mampu melakukan apa tanpa dipersoal kerana kuasa darurat itu kuasa besar, kuasa multlak.

Artikel Berkaitan:

"Apa salahnya kuasa itu ada tapi diimbangi di parlimen supaya dapat dibahaskan dan dipercepatkan sebarang proses,"katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyelar pihak yang mempertikai usaha pembangkang untuk membawa isu tersebut melalui undang-undang kerana yang diperjuangkan adalah keperluan meneruskan sidang parlimen tanpa menyentuh soal darurat.

"Melalui sidang Parlimen, perkara rakyat boleh dibahaskan, keterlanjuran kerajaan boleh diperbetulkan, kelemahan dalam urusan menangani Covid-19 dapat diperbetulkan.

"Lebih penting supaya prinsip tatakelola yang baik dilaksakan. Kita tak mahu digunakan ruang darurat ini sewenang-wenangnya tanpa semak dan imbang," katanya.