Ahli politik disaran bina pusat digital di rumah masing-masing

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (PPPKAM) mencadangkan supaya semua ahli politik mewujudkan pusat digital di rumah masing-masing bagi mengurangkan interaksi bersemuka dengan mengadakan sidang akhbar secara dalam talian.

Presiden PPPKAM, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pihaknya bimbang wujud satu lagi kluster jangkitan Covid-19 membabitkan ahli politik di negara ini.

Menurutnya, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada peningkatan kes jangkitan susulan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

"Kita belajar daripada sejarah, PRN Sabah, pada masa itu hampir semua ahli politik pelbagai peringkat yang mencetuskan kluster baharu berpunca daripada interaksi dalam kalangan mereka.

"Kita tengok ahli politik dan pengikut-pengikut mereka, kalau kita tengok secara am, tidak dapat dinafikan mereka juga terlibat dalam aktiviti-aktiviti bersama masyarakat dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya memetik laporan portal Astro Awani pada Rabu.

Mengulas lanjut ujar beliau, demi kesejahteraan masyarakat, pemimpin politik perlu melakukan kuarantin kendiri meskipun tidak bergejala.

Katanya, PPKAM amat berharap ahli politik melakukan kerja kerja dari rumah dengan menggunakan platform digital.

Untuk rekod, seramai 26 ahli politik dilaporkan positif Covid-19 sejak Mac 2020 sehingga 20 Januari tahun ini termasuk yang terbaharu iaitu bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) sebelum ini juga mencadangkan ahli politik supaya mengadakan sidang akhbar secara dalam talian berbanding secara bersemuka.