13,964 pelajar calon peperiksaan mulakan sesi persekolahan di Melaka

Pelajar tingkatan lima 2020 SMK Ayer Keroh ceria dan gembira dapat bertemu guru ketika kembali ke sekolah pagi Rabu.
Pelajar tingkatan lima 2020 SMK Ayer Keroh ceria dan gembira dapat bertemu guru ketika kembali ke sekolah pagi Rabu.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pendidikan Melaka merekodkan seramai 13,964 calon peperiksaan pada Februari dan Mac depan bagi tahun 2020 yang memulakan sesi persekolahan pada Rabu.

Pengarahnya, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 11,436 daripadanya merupakan pelajar calon Sijil pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dan 1,225 pula adalah pelajar calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 bagi 77 buah sekolah menengah di Melaka.

Menurut Azam, pihaknya turut mencatatkan seramai 103 calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020, 305 calon Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020, 134 calon Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) 2020, 303 calon Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 2020 serta bakinya seramai 458 melibatkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020.

"Jabatan pendidikan negeri bersiap sedia bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan secara bersemuka itu termasuk aspek keselamatan dan kesihatan.

"Kita menasihati pendidik supayamematuhi pembudayaan norma baharu dan serta memastikan pelajar yang hadir memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan kerap mencuci tangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan seperti biasa mengikut jadual.

Sementara itu Exco Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan keselamatan anak-anak di sekolah.

Menurutnya, sekolah tidak akan mengabaikan keselamatan pelajar memandangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah merangka prosedur operasi standard (SOP) yang khusus bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Guru akan memantau pergerakan anak-anak dari anak-anak masuk ke sekolah, waktu rehat hingga balik.

"Tiada sebab untuk ibu bapa berasa curiga atau khuatir mengenai anak-anak di sekolah memandangkan sekolah adalah kawasan yang lebih mematuhi SOP berbanding di pasar raya atau tempat pelancongan," katanya.

Untuk rekod, pada sesi persekolahan bermula hari ini (20 Januari) pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan sahaja dibenarkan ke sekolah.

Dalam pada itu tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh mendapati guru-guru begitu ceria menyambut pelajar bermula di pintu sekolah dengan memastikan pelajar mematuhi SOP bagi mengelak penularan wabak Covid-19.