'Boleh marah ahli politik, tapi bukan frontliners'

Datuk Seri Amirudin Shari
Datuk Seri Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat berhak meluahkan kemarahan kepada ahli politik yang mempunyai muslihat tertentu sehingga menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, namun begitu, kemarahan berkenaan tidak sepatutnya ditumpukan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak itu.

Amirudin berkata, beliau sedar mengenai kemarahan rakyat terhadap sebilangan ahli politik susulan perkembangan ini dan pihaknya juga tidak menafikan perkara itu.

“Kelemahan eksekutif untuk merancang serta merangka suatu pelan bagi menangani Covid-19 bukanlah kesalahan petugas barisan hadapan.

“Justeru, walaupun kita dibakar api kemarahan dan kecewa dengan keadaan semasa, saya memohon agar kita semua terus beri sokongan padu kepada petugas barisan hadapan ini,” katanya ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor secara dalam talian, pada Rabu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau juga yakin kebanyakan rakyat Malaysia sudah muak dengan mainan politik pihak tertentu yang hanya bertujuan memecah-belahkan semua pihak.

Ujar beliau, pimpinan negara tanpa mengira parti politik sewajarnya sedar bahawa sekarang adalah waktu untuk menolak sebarang unsur cauvinisme kaum.

“Ramai yang berselindung di sebalik 'real politik' untuk membenarkan politik perkauman.

Artikel Berkaitan:

“Jika ahli politik lama tidak mampu berbincang secara jujur untuk mencari penyelesaian, mungkin sudah tiba masanya bagi yang muda untuk bersama-sama berganding bahu merangka penyelesaian untuk negara ini,” katanya.

Tambah beliau, rakyat hanya mengharapkan penyelesaian terhadap beberapa perkara seperti upah rendah, menangani cabaran iklim, merancakkan pembangunan prasarana, meningkatkan mutu pendidikan dan beberapa lagi.