Calon SPM, STPM di Johor mula sesi persekolahan bersemuka hari ini

Yahya (kanan) membantu pelajar membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman di luar perkarangan SMK Sultan Ismail Johor Bahru pada Rabu.
Yahya (kanan) membantu pelajar membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman di luar perkarangan SMK Sultan Ismail Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 55,520 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2020, di negeri ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada Rabu.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, jumlah itu melibatkan seramai 49,475 calon peperiksaan SPM 2020, 4857 calon STPM dan 1,188 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Katanya, sebanyak 270 buah sekolah menengah di negeri ini dibuka pada Rabu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Tidak ada kelonggaran SOP kerana jumlah jangkitan baharu Covid- 19 meningkat setiap hari. Oleh itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) supaya guru- guru memantau SOP sedia ada dipatuhi.

"Sebagaimana diarahkan KPM hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan seperti SPM dan STPM sahaja boleh memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada hari ini. Ini kerana jika terlalu ramai pelajar dan murid di sekolah, kita bimbang tiada penjarakkan fizikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta, Datuk Yahya Jaafar.

Dalam pada itu calon SPM yang ditemui di luar perkarangan sekolah, Mardhiah Izam Nawi, 18, berharap dapat mengambil peperiksaan SPM dengan lancar pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami dapat menghayati suasana belajar apabila berada di sekolah walaupun dalam suasana norma baharu. Saya yakin akan lebih tekun dan bersungguh-sungguh belajar dalam kelas.

"Saya berharap dapat duduki peperiksaan SPM tahun ini selepas ditangguhkan akibat Covid- 19 pada tahun lepas" katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti negeri Johor (KPIBPK), Datuk Yahya Jaafar berkata, pihaknya turut membantu melakukan sanitasi di 22 buah sekolah di negeri ini.

"Sebelum sesi persekolahan bermula, KPIBPK secara sukarela melakukan sanitasi di sekolah yang dibuka. Kita memahami kebimbangan ibu bapa.

"Segala SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diambil, termasuk penjarakan fizikal, mengamalkan sanitasi dan yang berkaitan," katanya.

Sementara itu, seramai 17,489 daripada 17,644 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 memulakan sesi persekolahan 2021 secara bersemuka di seluruh Pahang pada Rabu.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang melalui kenyataannya hari ini memaklumkan, jumlah kehadiran pelajar terbabit mencapai 99.10 peratus.

JPN Pahang turut memaklumkan semua 174 sekolah yang terlibat termasuk Kolej Volasional dibuka di negeri ini.

"Secara keseluruhannya, seramai 20,786 pelajar atau 98.28 peratus daripada 21,149 calon peperiksaan utama di negeri ini hadir memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

"Selain calon SPM, seramai 1,946 pelajar merupakan pelajar tingkatan enam yang juga calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) seramai 23 orang," kata kenyataan itu.