Tahap kesihatan Hamzah stabil: Pejabat Menteri Dalam Negeri

Laporan Sinar Harian mengenai Hamzah sah dijangkiti Covid-19 pada Selasa.
Laporan Sinar Harian mengenai Hamzah sah dijangkiti Covid-19 pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbul persoalan berhubung tahap kesihatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas satu poster mendakwa beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) setelah tahap kesihatannya merosot tular di media sosial.

Bagaimanapun, Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, Hamzah kini sedang menjalani rawatan dan tahap kesihatan beliau berada dalam keadaan yang stabil.

"Pejabat Menteri Dalam Negeri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menzahirkan keprihatinan terhadap tahap kesihatan beliau.

"Untuk makluman beliau kini sedang menjalani rawatan serta kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan tahap kesihatan beliau berada dalam keadaan yang stabil.

"Sehubungan itu, Pejabat Menteri Dalam Negeri memohon semua pihak untuk terus mendoakan kesembuhan kepada YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

"Sebarang perkembangan berkaitan tahap kesihatan beliau yang sahih dan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Dalam Negeri," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Hamzah disahkan positif Covid-19 pada 12 Januari lalu dan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan serta pemantauan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebelum ini, semua menteri Kabinet dilapor menjalani ujian saringan Covid-19, susulan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif.

Artikel Berkaitan:

Selain Jemaah Menteri, turut diarah menjalani ujian saringan ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan semua yang hadir dalam mesyuarat parti itu baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hamzah Zainudin sah positif Covid-19