Israel keluar tender bina penempatan haram di Palestin

Gambar fail menunjukkan penempatan haram Yahudi dekat Ramallah, Tebing Barat. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan penempatan haram Yahudi dekat Ramallah, Tebing Barat. - Foto AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Israel telah mengeluarkan tender bagi membina 2,500 kediaman baharu untuk peneroka haram Yahudi menjelang majlis angkat sumpah bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sebagai Presiden, kata sebuah pertubuhan pemantau, Peace Now pada Rabu.

Pada Ahad lalu, negara Yahudi itu meluluskan 780 kediaman baharu di Tebing Barat, Palestin yang didudukinya secara haram sebelum satu pilihan raya umum diadakan ekoran tumbangnya kerajaan campuran Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Menurut Peace Now, kerajaan kini mengeluarkan tender untuk 2,112 unit rumah di Tebing Barat dan 460 unit lagi di Baitulmuqaddis Timur sebagai sebahagian daripada peluasan pemilikan paksa oleh Israel.

Sebelum ini, penduduk Palestin berharap bandar tersebut akan menjadi ibu kota negara tersebut pada masa depan.

"Dengan melakukannnya (mengeluarkan tender itu), Netanyahu memberi isyarat kepada bakal Presiden AS bahawa beliau tidak mempunyai hasrat memberikan babak baharu dalam hubungan AS-Israel," kata Peace Now dalam satu kenyataan.

Semua penempatan Yahudi di Tebing Barat dianggap sebagai haram oleh masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun, ketika pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, beliau mengisytiharkan pada tahun 2019 bahawa Washington tidak lagi menganggap penempatan haram Yahudi sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari berlaku pada tahun 1967.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, terdapat kira-kira 450,000 orang Yahudi tinggal di Tebing Barat, Palestin.

Seramai 2.8 juta penduduk Palestin pula mendiami Tebing Barat. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Kedutaan AS kekal di Baitulmaqdis: Blinken