PIBGN syor wujudkan pusat rujukan PdPR

Dr Mohamad Ali mengulas mengenai PdPR pada Wacana Sinar Edisi Ke-226 bertajuk Setahun tertinggal sekolah: Apa nasib anak kita? yang dikendalikan Herleena pada Selasa.- Foto ROSLI TALIB
Dr Mohamad Ali mengulas mengenai PdPR pada Wacana Sinar Edisi Ke-226 bertajuk Setahun tertinggal sekolah: Apa nasib anak kita? yang dikendalikan Herleena pada Selasa.- Foto ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mengesyorkan supaya pusat rujukan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diwujudkan di setiap negeri dan daerah.

Presidennya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ia bagi menyelesaikan masalah berkaitan pelaksanaan PdPR khususnya di kawasan luar bandar atau pedalaman yang berhadapan dengan banyak kekangan terutama melibatkan akses internet.

"Mungkin boleh wujudkan 'one stop centre' atau satu pusat rujukan seperti klinik PdPR untuk penyelesaian masalah ini di peringkat lokal misalnya pusat itu boleh ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah atau di Pejabat Pendidikan Negeri.

"Dalam kalangan pegawai pelajaran sedia ada juga, perlu diwujudkan pegawai yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah berkaitan PdPR hingga ke akar umbi," katanya.

Dr Mohamad Ali berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-226 bertajuk Setahun tertinggal sekolah: Apa nasib anak kita? yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan panelis Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, Datin Zaliza Alias dan Penyampai Radio dan Pengacara Televisyen (TV), Muhammad Azmir Selamat atau lebih dikenali sebagai AG manakala Personaliti TV, Herleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pegawai yang diberi tanggungjawab itu perlu sentiasa proaktif dan tidak boleh duduk diam.

Katanya, pegawai berkenaan antaranya perlu sentiasa mengadakan pemeriksaan mengejut atau spontan bagi memastikan PdPR benar-benar memberi impak dan dapat dinikmati secara bersama.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Dr Mohamad Ali juga mencadangkan pengetua atau pihak sekolah bersemuka secara maya dengan ibu bapa untuk berbincang tentang cara terbaik yang boleh dipraktikkan agar anak-anak dapat benar-benar menikmati atau memanfaatkan pembelajaran di rumah.

"Jangan hanya beri arahan kepada anak-anak untuk patuh kepada pelajaran atau jadual. Di sinilah peranan ibu bapa untuk bekerjasama.

"Betul, ada segelintir ibu bapa juga perlu bekerja dari rumah. Jadi itu pentingnya penjadualan kerana takut jadual antara mereka berselisih terutama bagi anak-anak yang perlu menggunakan gajet," katanya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan anak-anak bosan dan murung akibat sesi persekolahan secara PdPR juga, mereka perlu diberikan ruang untuk menenangkan pemikiran dengan diberi kelonggaran masa untuk beriadah, mengaji al-Quran dan sebagainya.

"Jadi ini akan melengkapkan bukan sahaja jasmani, emosi, rohani, intelek tapi soal sosialisasi anak-anak itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Dr Mohamad Ali menyeru pihak industri dan syarikat swasta tampil menyalurkan dana di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat masing-masing kepada sekolah dan pelajar yang terjejas dengan bencana banjir.

Menurutnya, beliau sendiri melihat bagaimana sekolah dan pelajar di luar bandar berdepan kesukaran untuk memulakan sesi persekolahan baharu apabila banyak peralatan dan kelengkapan sekolah dimusnahkan banjir.

"Perkara ini tak boleh ditangguh-tangguhkan. Bayangkan esok lusa nak masuk sekolah tapi kelas-kelas penuh dengan lumpur lagi.

"Inilah saya kira masanya untuk seluruh rakyat bekerjasama untuk manfaat bersama," katanya.