X

Kindly register in order to view this article
!

Harga sayur di Melaka naik

Gambar hiasan.
A
A

MELAKA - Harga sayur di Melaka didapati meningkat 20 hingga 70 peratus pada minggu ini berikutan kekurangan bekalan, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.

Beliau berkata, ini disebabkan penutupan seksyen menjual sayur-sayuran di Pasar Borong Selayang di ibu negara yang merupakan pembekal utama kepada majoriti peniaga barang basah serta pasar raya di Melaka.

“Seksyen itu ditutup Isnin lepas hingga Jumaat ini berikutan penularan Covid-19 di pasar berkenaan.

“KPDNHEP Melaka cuba menampung permintaan dengan mengambil bekalan dari Cameron Highlands, Pahang, namun keadaan banjir yang masih belum pulih di negeri itu sedikit-sebanyak menjejaskan usaha-usaha yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Norena berkata, selain itu, pihaknya juga cuba mendapatkan bekalan sayur organik daripada petani di Melaka, namun harganya yang agak mahal berbanding sayur yang ditanam secara biasa menyebabkan produk tersebut kurang mendapat sambutan daripada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut memberi kesan kepada bekalan minyak masak di negeri berkenaan.

“Orang ramai dilihat lebih gemar memasak di rumah sehingga menyebabkan bekalan minyak masak terutama jenis peket satu kilogram (kg) berkurangan di Melaka, selain bekalan yang terjejas akibat banjir di Pahang yang menjadi antara pembekal terbesar minyak masak bagi negeri ini.

“Justeru, KPDNHEP Melaka terpaksa mengehadkan pembelian minyak masak peket satu kg kepada tiga peket bagi setiap pengguna sementara menunggu banjir pulih di Pahang, sekali gus menjamin bekalan sentiasa mencukupi di pasaran,” katanya.

Isnin lepas, dilaporkan lebih 90 kes positif Covid-19 dikesan di Pasar Borong Selayang sekali gus menyebabkan pasar berkenaan ditutup selama empat hari bermula Isnin hingga Jumaat agar semua pekerja di pasar berkenaan boleh disaring. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!