Pakej Kita Selangor bantu rakyat hadapi cabaran PKP

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Pengumuman Khas Menteri Besar Selangor sempena Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Seksyen 7 Shah Alam pada Rabu. - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Pengumuman Khas Menteri Besar Selangor sempena Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Seksyen 7 Shah Alam pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor mengumumkan Pakej Kita Selangor bagi mengurangkan bebanan rakyat negeri ini dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Pakej Kita Selangor ini bakal memberi implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, inisiatif diumumkan ini juga adalah merupakan usaha kerajaan negeri dalam membantu rakyat mendepani cabaran susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Berhadapan PKP kali kedua pastinya mencabar buat kita semua, oleh itu kerajaan negeri sedaya upaya menggembleng sumber yang ada bagi memastikan kebajikan rakyat terbela," katanya ketika membuat pengumuman pakej berkenaan secara dalam talian pada Rabu.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di beberapa negeri termasuk Selangor selama 14 hari bermula 13 hingga 26 Januari.

Menerusi pengumuman itu juga, Amirudin berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM6 juta bagi melaksanakan ujian saringan bersasar percuma yang memberi manfaat kepada 5,000 rakyat negeri ini.

"Program ini akan memfokuskan kepada golongan sasaran seperti warga emas yang berisiko tinggi, khususnya yang lebih berusia di Pusat Penjagaan Warga Emas dan Pusat Hemodialisis seluruh Selangor, golongan B40 dan mahasiswa anak Selangor," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, menerusi pakej berkenaan, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif bagi menambah baik aplikasi SELangkah dalam membantu pengawasan kendiri (self monitor) pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bagi mengurangkan beban petugas barisan hadapan, beliau berkata, Bas Smart Selangor juga akan digunakan secara percuma untuk menghantar pesakit dari rumah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

"Malah, kerajaan negeri juga bersetuju untuk meluluskan Peruntukan Khas Selangor Mesra Rakyat berjumlah RM100,000 untuk setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dengan kadar segera.

"Bantuan makanan kepada semua 9,822 petugas perubatan di hospital, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta 3,500 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) akan diteruskan selepas ini," katanya.