Veteran UMNO gesa henti ‘perang terbuka’

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO menggesa kepimpinan parti di peringkat bahagian dan pucuk pimpinan supaya segera menghentikan 'perang' terbuka yang sedang berlaku di media sosial dan media cetak ketika ini.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya memandang berat dan bimbang dengan fenomena tersebut.

Beliau berkata, keadaan semasa yang dialami oleh UMNO itu adalah tidak sihat dan bakal merugikan parti serta ahlinya yang pastinya kecewa dan keliru dengan 'peperangan' tersebut.

“Veteran tidak menafikan sebagai sebuah parti besar yang mempunyai 3.9 juta ahli dengan 199 bahagian dan ribuan cawangan serta ribuan pula pemimpin cawangan dan bahagian, ia bukan mudah untuk disatukan cara berfikir mereka.

“Veteran juga faham perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam UMNO.

“Bagaimanapun, perbezaan pendapat itu mestilah mengikut cara dan lunas yang betul selaras dengan peruntukan yang ada dalam Perlembagaan dan Tata Etika UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kepimpinan UMNO tidak seharusnya mengemukakan perbezaan pendapat yang wujud antara mereka secara terbuka kerana tindakan sedemikian dianggap seperti membuka pekung di dada sendiri.

Jelas Mustafa, ahli parti juga akan mula hilang keyakinan terhadap UMNO sekiranya pemimpin terus berbalah sesama sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Paling malang, perbalahan ini terjadi ketika UMNO kalah dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) yang lalu.

"Sepatutnya kepimpinan di semua peringkat berusaha memperkukuhkan parti sebagai persediaan menghadapi PRU15. Bukan melibatkan diri dengan perang media yang tidak menguntungkan parti,” katanya.

Pada Selasa, bekas Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Anuar Musa secara terbuka membidas tindakan dilakukan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang memberikan surat kepada ahli-ahli Parlimen untuk menggesa Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen.

Annuar yang memuat naik surat yang ditulis kepada Ahmad di Twitter turut mendakwa tindakan berkenaan tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh parti.

Sementara itu, beberapa pemimpin UMNO di peringkat bahagian baru-baru ini juga meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berehat bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu membawa perubahan kepada parti.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Surat SUA UMNO cubaan menderhaka kepada Agong'