JAS kesan enam ketidakpatuhan syarat EIA

JAS mendapati kemusnahan alam sekitar yang berlaku di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang berpunca daripada tapak projek kuari granit. (Gambar kecil: Tuan Ibrahim)
JAS mendapati kemusnahan alam sekitar yang berlaku di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang berpunca daripada tapak projek kuari granit. (Gambar kecil: Tuan Ibrahim)
A
A
A

IPOH - Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan enam ketidakpatuhan syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dilakukan syarikat pembangunan projek kuari di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelanggaran syarat itu membabitkan kerja-kerja tanah yang dijalankan tanpa mengikut pelan Land Disturbing-Pollution Prevention and Mitigation Measures (LD-P2M2).

"JAS Perak telah menjalankan siasatan di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang pada Isnin dan Selasa lepas dan didapati kemusnahan alam sekitar yang berlaku di situ adalah berpunca daripada tapak projek kuari granit.

"Siasatan awal mendapati terdapat enam ketidakpatuhan syarat kelulusan EIA terutama melibatkan kerja-kerja tanah," katanya menerusi kenyataan yang dikongsi di Twitter pada Rabu.

Menurutnya, JAS Perak kini sedang melengkapkan kertas siasatan termasuk memanggil pihak-pihak yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

"Buat masa ini, JAS telah memasang 'cordon tape', malah arahan di lapangan dan notis arahan untuk tindakan remedi juga sudah dikeluarkan," katanya.

Pada Selasa, JAS Perak mengesahkan memang berlaku pelanggaran syarat EIA apabila syarikat terlibat tidak menyediakan sistem kawalan sewajarnya.

Pelaksanaan projek kuari di situ tidak mematuhi dan tidak memenuhi komitmen dibuat pemaju seperti termaktub dalam syarat kelulusan EIA yang dikeluarkan pada 2017 lalu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan kemusnahan Air Terjun Tanjung Batu bermula

Air Terjun Tanjung Batu musnah