'Tiada gajet boleh ganti cara guru mengajar di sekolah'

Moderator, Herleena Pahlavy (atas, kiri); panelis, Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, Zaliza Alias (atas, kanan); Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan (bawah, kiri) dan Penyampai Radio & Pengacara TV, Muhammad Azmir Selamat (AG) membincangkan tajuk Setahun Tertinggal Sekolah: Apa Nasib Anak Kita? pada Wacana Sinar Edisi ke 226 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf.
Moderator, Herleena Pahlavy (atas, kiri); panelis, Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, Zaliza Alias (atas, kanan); Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan (bawah, kiri) dan Penyampai Radio & Pengacara TV, Muhammad Azmir Selamat (AG) membincangkan tajuk Setahun Tertinggal Sekolah: Apa Nasib Anak Kita? pada Wacana Sinar Edisi ke 226 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pembelajaran secara digital boleh dilakukan tetapi bukan untuk jangka masa panjang walaupun semua pelajar memiliki peranti dan ibu bapa mempunyai masa untuk memantau anak-anak.

Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, Datin Zaliza Alias berkata, tiada gajet yang boleh menggantikan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dengan guru di sekolah.

"Tidak ada gajet yang boleh menggantikan cara guru melihat pelajar dan tidak ada suara yang boleh menggantikan keriuhan di dalam kelas.

"Tidak ada 'online game' yang boleh menggantikan keseronokan pelajar berlari-lari, berpeluh dan kotor ketika bermain di padang," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-226 bertajuk Setahun tertinggal sekolah: Apa nasib anak kita? yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Dua lagi panelis yang membincangkan isu itu ialah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan dan Penyampai Radio dan Pengacara Televisyen (TV), Muhammad Azmir Selamat atau lebih dikenali sebagai AG manakala Personaliti TV, Herleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.

Menurutnya, pendidikan merupakan satu perjalanan dan proses menimba pengalaman selain tidak boleh diperoleh di atas kertas atau melalui buku.

Justeru, jelas beliau, penerimaan pendidikan secara psikologi kepada anak-anak perlu dilihat dalam konteks Dasar Pendidikan Negara.

"Dalam Dasar Pendidikan Negara perlu ada empat elemen, barulah dasar pendidikan itu lengkap iaitu pendidikan yang membawa kesejahteraan kepada jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Artikel Berkaitan:

"Pembelajaran dalam talian sebenarnya hanya meliputi intelektual. Itu pun dari sudut akademik sahaja, bukan intelektual secara keseluruhan. Yang lain semua tak dapat kita capai lagi," katanya.

Sehubungan itu, Zaliza berkata, tiga pihak utama iaitu guru, ibu bapa dan anak-anak perlu mempunyai hubungan kerjasama yang erat bagi memastikan anak-anak yang setahun tidak ke sekolah secara formal tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Kita tidak boleh kata guru saja kena rajin, anak murid dan ibu bapa pun kena rajin. Bukan sahaja dalam pembelajaran digital tapi kalau pembelajaran secara bersemuka pun, kalau ibu bapa tak rajin nak buka beg anak, tak rajin bercerita dan sebagainya, pembelajaran tidak akan berjaya.

"Jadi ibu bapa kena betul-betul rajin kalau nak pembelajaran digital betul-betul menjadi," katanya.