X

Kindly register in order to view this article
!

3 juta kenderaan Ford dipanggil balik

Gambar hiasan
A
A

NEW YORK - Sekurang-kurangnya tiga juta kenderaan jenama Ford yang dilengkapi beg udara Takata dipanggil balik kerana menunjukkan petanda berisiko untuk menggelembung sendiri dan mendatangkan bahaya keselamatan buat pengguna.

Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) pada Selasa menolak rayuan dikemukakan syarikat pengeluar kenderaan Amerika Syarikat (AS) itu, lapor AFP.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan NHTSA mengeluarkan arahan supaya enam kenderaan yang dihasilkan antara tahun 2007 hingga 2012 termasuk Ford Ranger dan Ford Fusion dipanggil balik.

NHTSA juga mengesahkan 18 kematian direkodkan di AS setakat ini yang didapati berpunca daripada beg udara Takata yang meletup selain menyebabkan beberapa kecederaan lain.

Agensi kebangsaan itu turut menolak petisyen Ford untuk memutuskan sebarang kenyataan berhubung beg udara Takata 'sebagai tidak penting'.

NHTSA dalam keputusannya berkata, Ford mengemukakan bukti yang tidak mencukupi bagi menyokong permohonannya.

"Mengambil kira kesan penyusutan terhadap pemacu beg udara ini di mana risiko pemacu untuk pecah dan serpihan besi terkena penumpang.

"Keputusan mengenai kenyataan tidak penting bagi memenuhi permintaan aspek keselamatan memerlukan asas yang sangat teguh dan bukti sahih.

"Permohonan Ford mempunyai pelbagai kepincangan termasuk apabila dinilai secara berasingan dan keseluruhan, sekali gus menunjukkan kerosakan pada bahagian pemacu Ford adalah amat penting dan tidak boleh diabaikan dalam aspek keselamatan," katanya.

Susulan keputusan itu, NHTSA memperuntukkan 30 hari kepada Ford merangka jadual supaya setiap pemilik kenderaan jenama itu diberikan notis dan melaksanakan penyelenggaraan segera.

Bukan itu sahaja, NHTSA mengumumkan petisyen yang sama seperti dikemukakan Mazda juga ditolak, sekali gus bakal menyaksikan kira-kira 5,800 kenderaan jenama itu bakal dipanggil balik.

Keputusan itu dibuat susulan hasil penelitian General Motors yang mengarahkan supaya 5.9 juta kenderaan dilengkapi beg udara Takata untuk dipanggil balik, selepas penemuan mendapati wujud risiko kerosakan pada bahagian pemacu alat keselamatan terbabit yang juga mengundang bahaya kepada pengguna.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!