Trump ucap 'selamat berjaya' kepada Biden

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri) dan bakal Presiden negara itu, Joe Biden. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri) dan bakal Presiden negara itu, Joe Biden. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa berharap bakal Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat akan memperoleh kejayaan ketika mentadbir negara itu selepas beliau mengangkat sumpah jawatan pada Rabu ini.

Biden pula menaiki sebuah pesawat ke Washington selepas majlis 'selamat tinggal' diadakan di rumahnya di Wilmington, Delaware.

Trump yang tidak menghadiri majlis angkat sumpah jawatan itu tidak muncul di khalayak ramai selama seminggu tetapi muncul dalam satu rakaman video dan menyampaikan ucapan perpisahannya kerana meninggalkan Rumah Putih.

Trump buat pertama kalinya meminta warga AS berdoa untuk kejayaan Biden apabila beliau menjadi Presiden AS.

Menurut AFP, nada Trump kelihatan berlainan berbanding ketika beliau memujuk sejumlah besar penyokongnya daripada parti Republikan bahawa parti Demokrat telah menipu dalam pilihan raya Presiden pada 3 November tahun lalu.

Trump masih belum mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Biden yang menang dalam pilihan raya Presiden itu dengan menewaskannya atau menjemput bakal Presiden tersebut minum teh di Rumah Putih.

Beliau menaiki sebuah pesawat untuk pergi ke Florida dari Pangkalan Bersama Andrews, Maryland pada pagi Rabu.

Dalam pada itu, sejumlah besar anggota-anggota Pengawal Kebangsaan mengadakan kawalan ketat di luar pekarangan Rumah Putih.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 12 Pengawal Kebangsaan digantung tugas menjelang majlis angkat sumpah Biden-Harris

Evolusi majlis pelantikan Presiden AS

Ekoran pandemik koronavirus (Covid-19) melanda AS, majlis angkat sumpah jawatan Presiden itu yang diadakan pada waktu tengah hari waktu Amerika dijangka tidak dihadiri oleh ramai orang.

Bagaimanapun, berikutan kebimbangan majlis tersebut akan menjadi sasaran serangan para penyokong Trump di bangunan Capitol, Washington yang menempatkan Dewan Republikan dan Dewan Senat seperti kejadian pada 6 Januari lalu kawalan keselamatan di kawasan sekitarnya telah diperketatkan.

Kira-kira 200,000 bendera Amerika Syarikat dipacak di National Mall iaitu sebuah taman yang terletak di hadapan bangunan Capitol, Washington. - Foto AFP
Kira-kira 200,000 bendera Amerika Syarikat dipacak di National Mall iaitu sebuah taman yang terletak di hadapan bangunan Capitol, Washington. - Foto AFP

Dewan Senat pula dijangka akan memulakan pendengaran berhubung Trump menghasut para penyokongnya melakukan rusuhan di bangunan tersebut tidak lama lagi walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan Presiden.

Dalam kejadian rusuhan itu, seramai lima orang dilaporkan meninggal dunia termasuk seorang anggota pihak berkuasa.

Sementara itu, Biden yang pernah menjadi Naib Presiden AS ketika berkhidmat dengan Presiden ke-44, Barack Obama meninggalkan rumahnya di Wilmington, Delaware bersama isterinya, Jill Biden.

Mereka tinggal di Rumah Blair iaitu sebuah kediaman untuk ketua-ketua negara dan pelawat penting yang terletak berdekatan dengan Rumah Putih.

Bakal Naib Presiden AS, Kamala Harris iaitu iaitu warga kulit hitam pertama dan wanita pertama Amerika yang akan memegang jawatan itu menghadiri majlis memperingati rakyat negara itu yang telah meninggal dunia akibat Covid-19 di Memorial Lincoln di Washington.

Setakat ini lebih 400,000 warga AS sudah meninggal dunia akibat Covid-19.

Kira-kira 200,000 bendera AS dipacak di National Mall iaitu sebuah taman menghadap bangunan Capitol iaitu tempat Biden dan Harris mengangkat sumpah jawatan Presiden dan Naib Presiden.

Bendera itu sebagai mewakili orang ramai yang pada kebiasaannya menghadiri majlis angkat sumpah tersebut tetapi tidak dapat hadir ekoran Covid-19. - Agensi