X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin politik perlu bermuhasabah ketika darurat

RUSDI
A
A

KOTA BHARU - Pelaksanaan darurat adalah masa yang sangat sesuai untuk semua pemimpin politik bermuhasabah dan duduk semeja bagi melahirkan idea terbaik membendung Covid-19.

Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, ini bukan masanya untuk masing-masing mengumpul ‘peluru’ untuk menembak sesama sendiri apabila tamatnya konflik ekonomi melibatkan pandemik Covid-19 nanti.

“Darurat dilakukan sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif pandemik itu yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu, malah membolehkan kerajaan melaksanakan langkah-langkah perlu untuk menjamin ketenteraman awam di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, darurat ini juga sebenarnya sebagai satu ‘petanda’ kepada pemimpin politik negara supaya kembali mengutamakan rakyat dalam segala hal, bukan kepentingan diri sehingga sanggup memperjudikan maruah untuk mendapat sokongan.

Katanya, kerajaan mahupun pembangkang kini dinilai oleh rakyat dengan cara cukup mudah, tidak perlu menunggu pilihan raya untuk membuat keputusan siapa yang layak dipilih sebagai pemimpin.

“Ini bukan bermakna kita perlu lupakan persediaan PRU15, tapi ketika ini ada lagi perkara lain yang perlu diutamakan dan ia melibatkan masa depan rakyat, ekonomi negara dan kelangsungan kita. Bila isu Covid-19 ini berjaya kita kawal dengan baik, maka PRU15 boleh dilaksanakan.

“Tidak ada alasan lagi untuk terus menyekat daripada melaksanakan PRU15 jika semua masalah telah selesai. Saya harap semua pihak berlapang dada, jangan politikkan isu darurat.

“Lebih baik masing-masing kemukakan idea yang boleh bantu kerajaan bendung Covid-19, bukan hanya tunggu ada kuasa baru nak bertindak,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!