Antara Jack Ma dan Ebit Lew

Jack Ma, Ebit Lew
Jack Ma, Ebit Lew
A
A
A

EBIT Lew dan Jack Ma boleh dikatakan antara nama paling banyak muncul dalam media sosial baru-baru ini. Pendakwah Ebit Lew, 36, trending kerana sikap dermawannya, manakala Jack Ma, 56, disebabkan kehilangan misterinya daripada khalayak.

Merak Jalanan jarang tengok pemimpin politik buat macam Ebit Lew. Dia tolong orang tak kira musim.

Ketika ramai penuntut terkandas di universiti susulan larangan rentas negeri akibat Covid-19, dia yang mula-mula menyewa bas bagi membantu pelajar berkenaan pulang ke kampung masing-masing di Pantai Timur.

Apabila lebih sejuta pengguna mengalami gangguan bekalan air di Lembah Klang, Ebit Lew sewa pula dua buah lori tangki untuk meringankan beban penduduk di lokasi tertentu.

Malah, Ebit Lew juga sewa sebuah kapal terbang kargo bagi menyampaikan barangan bantuan dari Semenanjung ke Sabah yang menghadapi gelombang wabak Covid-19 yang serius selepas pilihan raya negeri.

Merak Jalanan tak nafi ada orang politik yang buat kerja tanpa apa-apa publisiti.

Tapi yang rakyat nampak, ketika masing-masing tak kira parti asyik berebut kuasa kononnya demi rakyat, Ebit Lew pula sibuk membantu rakyat yang ditimpa musibah banjir besar baru-baru ini.

Jack Ma pula sudah lebih dua bulan hilang selepas mengkritik sistem kewangan China. Menurut Forbes, kekayaan bersihnya adalah AS$58.4 bilion.

Artikel Berkaitan:

Seperti Ebit Lew, Jack Ma disenaraikan sebagai lelaki paling pemurah di China oleh Hurun.net setelah dia mendermakan sebahagian kekayaan untuk sebuah badan amal berkaitan alam sekitar, kesihatan dan pendidikan.

Merak Jalanan percaya banyak perkara kita boleh pelajari daripada kedua-dua lelaki keturunan Cina ini. Mereka kaya, pemurah dan merupakan contoh kisah kejayaan tulen.