Indahnya cinta monyet

A
A
A

KITA mengistilahkannya ‘cinta monyet’, orang putih pula memanggilnya ‘puppy love’ yang kalau diterjemahkan secara betul bendul akan bermakna ‘cinta anak anjing’. Antara kedua-duanya, saya beranggapan ‘cinta monyet’ adalah lebih tepat.

Jika dibandingkan dengan orang putih, orang Melayu mempunyai pengamatan yang lebih halus dan tajam. Serius, dalam soal memerhati kelaku gelagat manusia, susah bangsa lain hendak menandingi bangsa kita. Salah satu daripada sebabnya adalah kerana orang kita mempunyai cukup banyak masa untuk berbuat demikian.

Apabila orang tua-tua pada zaman dahulu memilih ‘monyet’ untuk disekutukan dengan perkataan ‘cinta’ bagi menggambarkan kasih sayang yang keanak-anakan terutama dalam kalangan mereka yang berada pada usia awal remaja, ia bukanlah bermakna nenek moyang kita itu sengaja memfitnah monyet. Tidak.

Mereka pun tahu monyet jantan tidak berulang-alik lima enam kali sehari di depan kediaman monyet betina untuk memikat sang betina itu. Mereka juga tahu monyet betina tidak akan berpura-pura jual mahal sewaktu sang jantan cuba memikat, sedangkan dalam hatinya menggelupur keseronokan. Mereka tahu monyet jantan dan monyet betina tidak akan saling merindu-rinduan sehingga lena tak lena, makan tak lalu. Tidak.

Kalau begitu, kenapa monyet yang dijadikan subjek kias ibarat? Jawapannya, kerana dalam banyak-banyak binatang, monyetlah yang paling suka ‘main-main’ dan paling tidak serius. Dan kerana cinta dalam kalangan remaja itu secara umumnya bersifat tidak serius, maka sesuai sangatlah jika ia dikiaskan dengan sifat monyet.

Tetapi betulkah cinta anak-anak awal remaja itu bersifat main-main? Orang yang paling sesuai ditanya adalah diri kita sendiri.

Ya, kebanyakan kita pernah melalui fasa itu. Fasa di mana kita berkenan dengan seseorang dan perasaan itu semakin hari menjadi semakin mekar sehingga akhirnya menjadikan hidup kita terasa di awang-awangan.

Kadang-kadang terjadi keadaan di mana orang yang kita berkenan itu tidak tahu pun kita berkenan kepadanya tetapi ia tidak mengurangkan sedikit pun perasaan yang tumbuh di hati sanubari kita.

Artikel Berkaitan:

Kita sentiasa hendak mengambil berat tentang dirinya, hendak tahu apa yang dia suka, dengan siapa dia berkawan dan sebagainya.

Itu sebabnya kalau sekali-sekala orang yang berkenaan itu menegur, hatta sekadar bertanya khabar atau hendak minta laluan, kita sudah tersenyum sendirian dua tiga hari.

Sudah terasa seolah-olah separuh daripada dunia ini kita yang punya tetapi yang cintanya betul-betul berbalas pun ramai. Kes-kes begitu berlaku dengan meluas pada peringkat sekolah menengah. Kalau berjalan atau berbasikal dengan kawan-kawan lain pun, lazimnya mereka berdua menjaga ‘SOP percintaan’. Tidak boleh berenggang terlalu jauh.

Jika belajar di dalam kelas yang sama, mereka akan berusaha untuk duduk berdekatan. Jika ditempatkan agak jauh, berselang sebaris dua, mereka akan mengisi dan mencuri masa untuk bertukar pandangan serta jelingan. Jika yang seorang dihukum oleh guru, yang seorang lagi berasa perit dan pedihnya.

Cemburu menjadi sebahagian daripada rukun utama dalam hubungan cinta monyet. Yang lelaki sanggup bertumbuk, yang perempuan rela bertarik-tarik rambut jika berasakan hubungan dengan pasangan mereka diusik atau diancam.

Zaman saya budak-budak dahulu, kalangan yang terlibat dengan cinta monyet selalunya menjadikan surat sebagai medium pengantara. Kalau tak beri sendiri, minta tolong kawan tolong sampaikan. Paling kerap, surat itu diselit di celah-celah buku. Ditambah pula dengan haruman bedak.

Yang menariknya, walaupun sekelas, hari-hari dapat berjumpa di sepanjang musim persekolahan, namun surat tetap juga ditulis setiap hari. Jika satu dua peranggan, masih munasabah. Ini tidak, ada yang tebalnya boleh dijadikan satu bab novel.

Mesej

Sekarang ini kaedah bercinta menggunakan surat boleh dikatakan sudah pupus, diganti oleh mesej-mesej berasaskan internet. Cara hendak memikat, meluahkan rasa hati dan sebagainya menjadi lebih mudah serta ringkas. Sambil lena pun boleh hantar mesej. Pendekatan juga menjadi krea-tif. Saling berbalas link YouTube lagu dan mengambil dialog filem antara kaedah yang popular.

Ada antara cinta monyet ini kekal berpanjangan sehingga ke anak cucu tetapi jumlahnya kecil. Yang ramai adalah yang ‘kasihnya berubah’ se-baik sahaja bertukar sekolah atau meninggalkan bangku persekolahan.

Pakar-pakar psikologi cinta berpendapat keadaan itu berlaku kerana perasaan kasih sayang dalam kalangan mereka yang bercinta monyet adalah bersifat luaran. Kata Dr Gary Brown, seorang ahli terapi cinta terkenal di Los Angeles, Cinta monyet adalah tentang apa yang dirasai oleh seseorang terhadap sesuatu yang menyebabkan kasih sayangnya bertunas bukannya tentang orang yang memiliki sesuatu itu’.

Dengan bahasa mudahnya, kita mungkin tertarik kepada seseorang kerana senyumnya, kebaikannya, kecantikannya atau apa sahaja elemen lain. Kadang-kadang kerana dia selalu meminjamkan getah pemadam pun kita boleh berasa berkenan. Kita tidak peduli tentang perwatakan atau perangainya yang lain.

Apabila kita semakin dewasa dan semakin pandai menilai, senyum, kecantikan dan getah pemadam tidak menjadi keutamaan lagi. Kita mengambil kira elemen-elemen lain yang lebih bersifat peribadi. Kita mula bercakap tentang serasi dan tidak serasi.

Begitulah, cinta monyet adalah kecelaruan antara suka dan sayang, antara berkenan dan cinta. Sebab itu jika ada antara anda suka atau berkenan dengan tulisan ini, jangan pula kata jatuh cinta kepada saya. #dush.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia