Kegiatan haram sebalik pusat hiburan terbongkar

Paket dadah yang dirampas.
A
A

KLANG - Taktik hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja masuk berhibur bagi mengelak kegiatan haram di premis terbabit dihidu pihak berkuasa terbongkar.

Namun ternyata gagal apabila kegiatan premis tidak berpapan tanda yang terletak di Bandar Baru Klang itu dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, awal pagi tadi.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, serbuan kira-kira jam 2.15 pagi telah berjaya membawa penahanan 11 individu berusia lingkungan 20 hingga 30an.

“Siasatan mendapati tiga daripada mereka adalah penjaga premis, dua memiliki dadah dan enam lagi dikesan positif dadah.

“Tangkapan itu susulan pemeriksaan terhadap seramai 14 pelanggan pusat hiburan tersebut termasuk tiga wanita warga Indonesia dan China yang leka berhibur,” katanya.

Beliau berkata, serbuan ini turut membawa rampasan lima paket lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin dan 20 biji pil eramin 5 di dalam poket seluar pelanggan.

Katanya, beberapa barang lain juga telah dirampas antaranya mikrofon, amplifier, minuman keras dan wang tunai RM5,980.

Mohd Khaizam mendedahkan, pusat hiburan yang beroperasi di tingkat satu bangunan terbabit dikesan menjalankan perniagaan terbabit secara haram, berikutan tiada sebarang tanda papan perniagaan selain jalan ke premis terbabit tidak dipasang lampu.

“Siasatan mendapati premis itu hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja masuk dan perlu membuat tempahan terlebih dulu,” katanya.

Tambahnya, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia