KPM diminta tunda tarikh peperiksaan SPM

Kementerian Pendidikan diminta untuk menunda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada satu tarikh yang bersesuaian.
Kementerian Pendidikan diminta untuk menunda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada satu tarikh yang bersesuaian.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan diminta untuk menunda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada satu tarikh yang bersesuaian.

Menurut satu kenyataan, tarikh penundaan tersebut haruslah diambil kira selepas bilangan kes Covid-19 reda dan selamat untuk pelajar menduduki peperiksaan.

Kata kenyataan itu, warga pendidik juga haruslah memberikan peluang kepada golongan B40 yang berminat dalam pelajaran supaya mereka dapat menyambung pelajaran pada tahun ini untuk meneruskan pelajaran yang ketinggalan pada tahun lepas.

“Kami telah menanyakan soalan kepada Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin tentang sistem pembelajaran secara atas talian sebelum ini yang mana pelajar khususnya golongan B40 yang akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan Februari ini tidak dapat mengikuti pembelajaran.

“Ini kerana ibu bapa mereka tidak mampu untuk membeli komputer bagi tujuan kegunaan anak mereka.

“Justeru, golongan pelajar ini tidak dapat mengikuti silibus tersebut dan akhirnya mereka tidak dapat menyiapkan diri untuk menduduki peperiksaan SPM yang akan datang,”menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Biro Pendidikan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Albert Lee; Ahli Parlimen Belia Malaysia, Kiran Raj Sathivel; Yong Democrats Malaysia, Calvin Yeoh; Enlight Malaysia, M. Jay Raj A/L P. Muresh; Untuk Malaysia, Ooi Mei Mei dan Pertubuhan Demokrat Sosial (Demuda), Irfan Mahzan.

Mengulas lanjut, gabungan itu berkata, perkara demikian bukan sahaja berlaku kepada golongan B40, malah ia turut menjejaskan semua pelajar tingkatan lima.

Artikel Berkaitan:

Menurut gabungan itu, bermula minggu lepas, jumlah kes Covid-19 melebihi 3000 kes.

“Pihak kami mendapat maklum daripada Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) bahawa seramai 18 pelajar yang kembali ke asrama telah disahkan positif Covid-19 dalam dua hari ini. Keadaan ini membimbangkan ibu bapa ataupun penjaga pelajar SPM tersebut.

“Ini juga secara tidak langsung akan mengakibatkan tekanan mental kepada pelajar dan juga ibu bapa ataupun penjaga mereka,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, sesi persekolahan tahun 2021 tetap bermula pada 20 Januari ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di beberapa negeri susulan penularan Covid-19.

Mohd Radzi berkata, bagaimanapun hanya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa setara di negeri-negeri PKP dibenarkan hadir ke sekolah.