X

Kindly register in order to view this article
!

Harapan damai di Darfur mungkin pudar

Gambar fail menunjukkan pasukan keselamatan Sudan mengawal El Geneina, Darfur Barat. - Foto AFP
A
A

HARAPAN untuk menyaksikan Darfur di Sudan menuju ke arah keamanan semakin pudar apabila pertempuran antara etnik di wilayah itu semakin meningkat sehingga mengakibatkan hampir 140 orang terbunuh dan 50,000 hilang tempat tinggal sejak Isnin lalu.

Pada 31 Disember tahun lalu, misi pengaman pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika yang dikenali sebagai UNAMID ditamatkan di Darfur selepas satu perjanjian damai ditandatangani oleh kerajaan Sudan dengan para pemberontak.

Misi pengaman pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika yang dikenali sebagai UNAMID telah ditamatkan di Darfur pada 31 Disember tahun lalu. - Foto AFP
Misi pengaman pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika yang dikenali sebagai UNAMID telah ditamatkan di Darfur pada 31 Disember tahun lalu. - Foto AFP

Perjanjian antara kerajaan dengan kebanyakan kumpulan pemberontak itu ditandatangani pada 3 Oktober tahun lalu setelah satu pertemuan diadakan bagi menamatkan perang saudara di negara tersebut yang berlaku kira-kira 17 tahun lalu.

Perang saudara itu bermula pada tahun 2003 di Darfur apabila para pemberontak daripada kumpulan Pergerakan Pembebasan Sudan/Tentera (SLM/SLA) dan Pergerakan Keadilan dan Persamaan (JEM) melancarkan pemberontakan bersenjata menentang kerajaan Khartoum.

Pemberontakan itu dilancarkan kerana kumpulan-kumpulan pemberontak itu yang terdiri daripada etnik minoriti menuduh kerajaan Khartoum yang dikuasai oleh penduduk berketurunan Arab mengabaikan wilayah Darfur di barat Sudan.

Sebuah kumpulan militia Arab yang dikenali sebagai Janjaweed yang mendapat sokongan daripada kerajaan Sudan kemudian campur tangan dalam konflik tersebut.

Kebanyakan anggotanya menunggang kuda, unta dan menaiki kenderaan pikap ketika bertempur dengan kumpulan-kumpulan pemberontak tersebut.

Ketika itu Sudan diperintah oleh Presiden Omar al-Bashir berketurunan Arab Afrika yang juga bekas pegawai tentera tetapi bertindak merampas kuasa dalam satu rampasan kuasa tentera pada tahun 1989.

Beliau bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan cara kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokratik.

Bagaimanapun, ketika krisis Darfur masih belum selesai, beliau disingkirkan daripada jawatan pada tahun 2019 melalui satu rampasan kuasa tentera setelah berlakunya protes besar-besaran rakyat yang menentang pemerintahan Bashir.

Protes itu yang bermula kerana tidak puas hati dengan keadaan taraf hidup rakyat dan ekonomi negara tersebut.

Bermula protes berskala kecil ia bertukar menjadi besar-besaran sehingga disertai pihak pembangkang bagi memintanya meletakkan jawatan tetapi beliau enggan memenuhi tuntutan mereka.

Akhirnya, pihak tentera campur tangan dengan melakukan rampasan kuasa bagi menamatkan tunjuk perasaan itu yang berlangsung selama berbulan-bulan dan bertindak menangkap Bashir sebelum beliau didapati bersalah melakukan rasuah serta dipenjarakan dua tahun kerana faktor usia.

Majlis Peralihan Ketenteraan yang kini mentadbir Sudan buat sementara waktu dilaporkan bersetuju untuk menyerahkan Bashir ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda setelah beliau dituduh menyebabkan konflik di Darfur pada tahun 2003 dan mengakibatkan kematian sehingga 300,000 orang.

Kerajaan Sudan dan beberapa kumpulan pemberontak menandatangani perjanjian damai bagi menamatkan perang saudara di negara itu di Juda, Sudan Selatan pada Oktober tahun lalu. - Foto AFP
Kerajaan Sudan dan beberapa kumpulan pemberontak menandatangani perjanjian damai bagi menamatkan perang saudara di negara itu di Juda, Sudan Selatan pada Oktober tahun lalu. - Foto AFP

Bagaimanapun, kira-kira dua minggu selepas pasukan pengaman PBB dan Kesatuan Afrika menamatkan misi mereka di Sudan, media kerajaan melaporkan 48 orang terbunuh akibat pertempuran yang berlaku antara etnik di ibu kota Darfur Barat, El Geneina.

Ia juga berlaku selepas PBB dan Kesatuan Afrika menamatkan operasi selama 13 tahun dengan pengunduran secara berperingkat-peringkat melibatkan kira-kira 8,000 anggota bersenjata dan kakitangan awam dalam tempoh enam bulan.

"Ia bermula apabila dua orang bergaduh, seorang daripada etnik bukan Arab iaitu penduduk suku kaum Massalit dengan seorang lagi daripada suku Arab pada Jumaat lalu," kata seorang petani tempatan, Adam Hussein dari El Geneina kepada AFP menerusi telefon.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di sebuah restoran dan berakhir dengan kejadian tikaman.

Sebuah persatuan masyarakat awam tempatan menyatakan polis berjaya menahan seorang individu yang disyaki membunuh itu tetapi ia berkata: "Militia bersenjata mengambil kesempatan daripada kejadian itu menyerang El Geneina."

Kejadian itu kemudian merebak di Darfur Selatan pada Isnin apabila 55 orang terbunuh selepas satu kejadian keganasan di Darfur Barat menyebabkan 83 orang lagi terbunuh dalam pertempuran antara etnik di El Geneina dan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal pada hujung minggu lalu.

Ia merupakan keganasan paling buruk pernah dilaporkan sejak perjanjian damai ditandatangani pada Oktober lalu yang mana para pemerhati berharap perjanjian itu bakal menamatkan perang di negara tersebut.

Dalam kejadian di Darfur Selatan, pertempuran berlaku pada Isnin antara suku kaum Arab Rizeigat dengan etnik Fallata iaitu suku kaum yang sebahagian besarnya mengembala lembu dan unta.

Seorang ketua etnik Fallata, Mohamed Saleh memberitahu sejumlah rumah dibakar yang kelihatan sebagai serangan balas dendam selepas seorang etnik Fallata membunuh seorang etnik Arab Reigat kira-kira seminggu lalu.

Seorang penganalisis dengan pertubuhan Kumpulan Krisis Antarabangsa, Jonas Horner memberitahu AFP bahawa kerajaan Sudan kini mengambil alih tugas menjaga keselamatan di Darfur daripada pasukan pengaman PBB dan Kesatuan Afrika tetapi berdepan dengan cabaran sukar kerana mengalami masalah kekurangan peralatan. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!