Pemalsuan latar belakang akademik adalah integriti, kejujuran

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan terdapat beberapa individu dalam pimpinan kerajaan memalsukan latar belakang dan tahap pendidikan akan memberi impak negatif dari segi integriti.

Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Roslee Ahmad berkata, perkara itu memberi kesan besar seterusnya menjadi cerminan personaliti individu terbabit, jika terbukti benar.

Katanya, tidak timbul soal tahap pendidikan itu penting atau tidak dalam politik, sebaliknya ia adalah isu dari segi moral dan kejujuran.

"Isunya bukan soal apabila berpolitik, tahap pendidikan itu nombor satu atau dua, penting atau tidak...tapi ia adalah soal integriti, soal kejujuran dan integriti.

"Jadi kalau tahap pendidikan itu sekadar SPM atau diploma sekalipun, perlu jujur dalam butiran kita apatah lagi berpolitik," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kontroversi melibatkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang juga Setiausaha Agung Bersatu yang terpalit dengan latar pendidikan.

Pada awalnya, Marzuki dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari University of Cambridge, England sebelum menjelaskan ijazahnya adalah dari Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).

Warganet kemudiannya turut mempersoalkan kelayakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang mempunyai ijazah dan diploma Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang didakwa meragukan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Roslee yang juga salah seorang panel Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menjelaskan pemalsuan maklumat dan butiran kelayakan membawa kesan besar dalam sesebuah organisasi atau institusi, apatah lagi jika ia melibatkan posisi yang penting seperti mengurus, memimpin atau mentadbir.

"Dalam konteks politik pula, isu ini pastinya memberikan tanggapan negatif kepada masyarakat dari segi kredibiliti. Rakyat akan persoal kenapa tipu?

"Bukan hanya kredibiliti individu berkenaan tercalar, malah tempiasnya secara tidak langsung kepada parti yang diwakilinya," katanya.

Menurutnya, jika benar individu berkenaan memalsukan tahap pendidikannya, parti politik yang diwakilinya perlu mengambil langkah dengan menggantikan individu terbabit dengan calon yang lain.