X

Kindly register in order to view this article
!

51,294 pelajar SPM, STPM Sabah mula ke sekolah esok

Seramai 51,294 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sabah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai esok.
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 51,294 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sabah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai esok.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mistirine Radin dalam satu kenyataan berkata, 33,503 daripadanya adalah calon yang akan menduduki peperiksaan awam SPM, manakala selebihnya STPM.

Mengulas situasi banjir di Sabah, Mistirine berkata, 21 sekolah di empat daerah iaitu Beaufort, Kota Kinabalu, Beluran serta Tuaran terjejas kerana dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak minggu lepas.

Beliau berkata, kesemua 4,891 murid dan 433 guru di sekolah terbabit boleh menjalankan PdPR bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan seperti biasa mengikut jadual.

Sementara itu di LUMUT, Perak, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, 28,637 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di seluruh Perak esok.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri telah bersiap sedia bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan secara bersemuka itu termasuk daripada aspek keselamatan dan kesihatan.

“Nasihat kerajaan negeri kepada semua warga pendidik supaya memastikan pematuhan pembudayaan normal baharu diikuti dan diperketatkan serta pastikan pelajar mendaftar esok memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan kerap mencuci tangan,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara City Harbour International School dan Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad di City Harbour International School di sini, yang bertujuan melaksanakan kerjasama strategik bagi menubuhkan Sekolah Rendah Al-Amin di Kampus City Harbour International School di Manjung.

Katanya, kerjasama itu dapat mewujudkan satu persekitaran unik merangkumi sayap sekolah antarabangsa dan juga sekolah aliran kebangsaan yang diintegrasikan dengan elemen pendidikan agama Islam secara komprehensif.

Pada majlis itu, Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad diwakili Pengerusinya, Shaharom Md Shariff, manakala City Harbour International School diwakili Pengasas dan Pengarah Urusannya, N. S. Lal Muhuthan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!