X

Kindly register in order to view this article
!

Cadangan guna keputusan percubaan SPM kurang sesuai: NUTP

Saranan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menggantikan peperiksaan sebenar dilihat kurang sesuai, menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP). Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Saranan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menggantikan peperiksaan sebenar dilihat kurang sesuai, menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, peperiksaan percubaan SPM adalah sebagai kaedah bagi guru mengenal pasti kemampuan dan kelemahan pelajar sebelum menduduki peperiksaan sebenar.

Beliau berkata, taraf peperiksaan percubaan SPM tidak setara dengan SPM sebenar, yang mempunyai penilaian selaras piawaian antarabangsa.

"Percubaan SPM tiada tanda aras dengan taraf antarabangsa, justeru tidak adil guna keputusan peperiksaan percubaan untuk menggantikan SPM sebenar.

"Tanpa menduduki peperiksaan percubaan, guru masih ada kaedah lain boleh dilakukan sebagai persediaan bagi calon SPM dalam sepanjang tempoh takwim persekolahan tahun ini sebelum SPM bermula," katanya dihubungi Bernama pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan sebilangan ibu bapa yang mahu SPM dibatalkan dan menggunakan gred keputusan peperiksaan percubaan SPM sebagai keputusan sebenar.

Pada Isnin, menerusi senarai Soalan Lazim (FAQ) KPM memaklumkan peperiksaan percubaan SPM dibatalkan dan tidak akan menjejaskan peluang pelajar yang tidak menduduki peperiksaan percubaan SPM 2020 memasuki institut pengajian tinggi awam.

Harry berkata, adalah penting pada masa ini bagi guru dan calon peperiksaan memfokuskan diri kepada persediaan SPM.

Beliau berkata, keputusan membatalkan peperiksaan percubaan itu sekurang-kurangnya meredakan tekanan calon SPM khususnya mereka di kawasan terjejas banjir dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dalam keadaan sekarang, adanya satu tarikh tetap bagi satu peperiksaan (SPM dan peperiksaan setara) semua yang terlibat boleh memfokuskan kepada satu peperiksaan sahaja," katanya.

Di SABAH, ibu bapa calon SPM di negeri ini berpendapat sebarang keputusan berhubung SPM termasuk menangguhkan tarikh peperiksaan atau mengguna pakai keputusan ujian percubaan sebagai keputusan sebenar perlu adil terhadap pelajar.

Unus Limun, 46, ketua kampung Lokub di Kiulu, berkata, langkah melindungi pelajar daripada Covid-19 sememangnya baik namun adalah tidak adil membuat keputusan mengguna pakai percubaan SPM sebagai keputusan sebenar.

"Ujian percubaan ini sebuah percubaan bagi lihat pencapaian anak kita dan perbaiki kelemahan mereka sebelum ambil ujian SPM sebenar," kata bapa kepada Adrian Melvin Unus, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens, Kiulu ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Bagi Runah Bernadus, 45, pembantu taska di Tawau tidak bersetuju jika keputusan ujian percubaan dijadikan sebagai keputusan sebenar SPM kerana tidak adil kepada pelajar yang menaruh harapan melakukan yang terbaik pada peperiksaan sebenar.

"Pada saya, peperiksaan percubaan tidak boleh dijadikan penunjuk prestasi sebenar kerana sudah tentu ada pelajar mendapat keputusan tidak memberangsangkan ketika percubaan namun pelajar ini berharap melakukan lebih baik pada peperiksaan sebenar," kata ibu kepada Ameera Najla Lucius, 17.

Sabtu lepas, KPM memaklumkan persekolahan secara bersemuka bermula esok (20 Januari) hanya melibatkan pelajar calon peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara tahun lepas.

Tarikh peperiksaan SPM, SVM dan STAM dianjak ke 22 Februari depan, manakala tarikh baharu bagi peperiksaan STPM ditetapkan pada 8 Mac 2021. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!