Remaja lemas ketika cuba ambil bola dalam sungai

Mayat Wan Mohd Azamudin (gambar kecil) yang ditemui pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu termasuk lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 6.35 petang Selasa.
Mayat Wan Mohd Azamudin (gambar kecil) yang ditemui pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu termasuk lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 6.35 petang Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang remaja maut manakala tiga lagi terselamat dalam kejadian lemas di Sungai Keladi, Kampung Perupok Tikat, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini pada petang Selasa.

Mangsa yang maut, Wan Mohd Azamudin Wan Aznan, 16, manakala mereka yang terselamat ialah rakan karib mangsa, Mohd Amirul Adam Mohd Zaid,14, serta dua beradik, Mohd Adam Mohd Kamil, 12, dan Mohd Arif Idham, 11.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang apabila Mohd Adam lemas ketika cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam sungai.

Mohd Amirul Adam berkata, melihatkan Mohd Adam terkapai-kapai, Mohd Arif bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan abangnya.

“Kemudian, kedua-duanya pula lemas menyebabkan saya yang tahu berenang bertindak terjun untuk menyelamatkan mereka namun gagal serta turut lemas kerana tertelan banyak air.

“Kejadian betul-betul di hadapan rumah Wan Mohd Azamudin yang menyedarinya dan terus terjun untuk menyelamatkan kami sebelum saya berjaya naik ke tebing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya lagi, seorang penunggang motosikal kebetulan lalu di lokasi itu kemudian terjun dan berjaya menyelamatkan dua beradik berkenaan.

“Dalam kekalutan itu, Wan Mohd Azamudin menjerit meminta tolong kerana dia tidak tahu berenang.

Artikel Berkaitan:

“Saya nampak dia melambaikan kedua-dua belah tangannya sebelum kemudian hanya tinggal jari telunjuk lalu dia tenggelam,” katanya sambil menangis.

Dalam pada itu, suasana di lokasi kejadian diselubungi hiba apabila ada keluarga yang hampir pitam ketika mayat Wan Mohd Azamudin ditemui di dasar sungai pada jam 6.35 petang.

Ahli keluarga yang rebah kerana hampir pitam ketika mayat Mohd Azamudin ditemui di dasar sungai sejauh tiga meter dari lokasi dia tenggelam.
Ahli keluarga yang rebah kerana hampir pitam ketika mayat Mohd Azamudin ditemui di dasar sungai sejauh tiga meter dari lokasi dia tenggelam.

Bapa arwah, Wan Aznan Wan Ibrahim, 52, dilihat berkali-kali mengesat air mata dan menadah tangan berdoa meredai pemergian anaknya itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie yang ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 petang dan tiba pada jam 5.49 petang.

“Seramai 19 anggota daripada BBP Kota Bharu termasuk lima Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada kedalaman sungai 3.3 meter.

“Keadaan air sungai berlumpur dan mangsa ditemui dalam jarak tiga meter dari tempat dia tenggelam. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.