X

Kindly register in order to view this article
!

Hari terakhir Trump di Rumah Putih

Trump dikatakan tidak banyak tampil di khalayak umum sejak insiden rusuhan ke atas Capitol di Washington pada 6 Januari lalu. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Penggal pemerintahan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hanya berbaki satu hari lagi ketika persiapan pelantikan penggantinya di Rumah Putih, Joe Biden pada Rabu sedang giat dijalankan.

Bilionair hartanah yang tidak pernah lekang dengan kontroversi itu sekali lagi sengaja mencetuskan kekecohan dan kemarahan pentadbiran Biden pada Isnin apabila beliau sewenang-wenangnya menarik sekatan perjalanan individu dari United Kingdom (UK), Ireland dan Kesatuan Eropah serta Brazil yang kini berdepan ancaman virus bermutasi bermula Selasa depan.

“Atas nasihat pasukan perubatan kami, pentadbiran Biden tidak berhasrat untuk menarik balik sekatan terbabit. Sebaliknya, kami merancang untuk mengetatkan langkah kesihatan awam membabitkan perjalanan antarabangsa sebagai usaha mencegah penularan Covid-19.

“Situasi pandemik ini semakin buruk dan varian lebih berjangkit kini menular di seluruh dunia. Ia bukan masa yang sesuai untuk menghapuskan sekatan perjalanan antarabangsa,” tegas Jen Psaki yang merupakan Setiausaha Akhbar pentadbiran Biden.

Selain itu, Trump juga dijangka memberikan kira-kira 100 pengampunan dan meringankan hukuman penjara terhadap beberapa individu termasuk penjenayah kolar putih selepas pentadbiran beliau mengadakan mesyuarat untuk memuktamadkan senarai tersebut pada akhir minggu lalu.

Trump dikatakan masih mempunyai kuasa untuk berbuat demikian sehingga tengah hari Rabu sebelum proses peralihan kuasa di Rumah Putih berkuat kuasa.

Presiden ke-45 AS itu juga merancang majlis perpisahan sendiri di pangkalan tentera di Maryland, kira-kira empat jam sebelum Biden mengangkat sumpah jawatan di Capitol, Washington.

Pada mulanya, Trump dikatakan mahu diraikan dengan perarakan tentera yang besar dan turut dihadiri kumpulan penyokongnya.

Namun, hasrat itu dijangka tidak kesampaian gara-gara insiden pencerobohan ke atas Capitol dilancarkan kumpulan pro-Trump dan imejnya yang semakin tercalar selepas berdepan undian pemecatan kali kedua di Dewan Perwakilan AS dan sejumlah siasatan kes jenayah serta sivil.

Dalam perkembangan berkaitan, keputusan tinjauan Gallup mendapati sokongan terhadap beliau telah menurun kepada 34 peratus pada titik paling rendah sejak kaji selidik itu dijalankan pada 1940-an.

Keputusan itu diperoleh berdasarkan tinjauan yang dibuat sebelum insiden rusuhan ganas di Capitol pada 6 Januari lalu yang menyaksikan sokongan ke atas beliau menjunam kepada 12 mata peratusan sebelum Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada 3 November lalu.

Ia turut membandingkan beliau dengan 12 pendahulunya yang menunjukkan peratusan sokongan diraih beliau sama seperti yang diperoleh Presiden ke-43 AS, George W Bush dan Presiden ke-39 AS, Jimmy Carter, manakala Presiden ke-33 AS, Harry S Truman merekodkan angka paling rendah iaitu 32 peratus.

Presiden ke-44 AS, Barack Obama yang menjadi pemimpin kulit hitam pertama dilantik mentadbir Rumah Putih dan memegang pentadbiran selama dua penggal bagaimanapun memperoleh sokongan sebanyak 59 peratus. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!